Home Berita PAS Kelantan

Dato’ Panglima Perang memang hero sejati – Susiyani

116
SHARE

PASIR MAS, 27 Dis: Musim banjir sinonim dengan petugas keselamatan dan sukarelawan datang membantu memindahkan penduduk kampung atau mengagihkan bantuan makanan di kawasan terjejas.

Namun apabila wakil rakyat sendiri turun padang menghulur bantuan dalam keadaan rumahnya digenangi air dan diri sendiri pun masih bertongkat, situasi itu amat menyentuh perasaan rakyat.

Salah seorang mangsa banjir yang dipindahkan ialah Nik Saiful Azwan Osman, 31, dan isterinya Susiyani Daud, 36, dari Kampung Tok Rusa dalam Dewan Undangan Negeri (DUN) Meranti.

Pasangan itu berkongsi keterharuan melihat semangat dan keprihatinan yang tinggi dalam diri wakil rakyat di Kelantan.
Susiyani memaklumkan beliau menghubungi Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Meranti YB Dato’ Panglima Perang Dato’ Mohd Nassuruddin Daud pada pukul 10:30 pagi, 21 Disember lalu setelah mendapati paras air semakin tinggi sampai ke dada.

“Saya sekeluarga (bersama suami yang mengendong anak berusia 8 bulan dan dua anak saudara) terkejut dan sungguh terharu apabila melihat YB Dato’ Nassuruddin sendiri pandu bot dalam keadaan uzur untuk membantu mangsa banjir. YB Dato’ Nassuruddin datang bersama tiga sukarelawan. Ini bukan kali pertama saya lihat beliau turun padang untuk membantu penduduk sebab sejak remaja, saya sudah saksikan YB Dato’ Nassuruddin selalu datang awal untuk membantu penduduk berpindah. Beliau memang hero sejati di hati rakyat,” katanya ketika ditemui di Pusat Pemindahan Sementara (PPS) di Madrasah Nasrullah Pohon Buloh, Rabu lepas.

Rakaman misi bantuan tersebut boleh ditonton di pautan berikut
https://fb.watch/hyoRk0lyfc/?mibextid=RUbZ1f

Sementara itu, Dato’ Mohd Nassuruddin yang juga Exco Kerajaan Negeri Kelantan pula mengakui, setiap kali banjir melanda, beliau sentiasa terimbau kenangan bersama Murabbi Ummah, almarhum Tuan Guru Dato’ Bentara Setia Nik Abdul Aziz Nik Mat (ATGNA) yang dikasihi kawan dan disegani lawan.

Nasihat yang ditulus disampaikan oleh ATGNA sentiasa dingati dan kekal sebagai azimat penguat semangat setiap kali menggalas taklif berkhidmat untuk rakyat.

Baginya, naluri prihatin ATGNA terhadap isu banjir yang melanda masyarakat Meranti khususnya dan rakyat Kelantan keseluruhannya, sungguh luar biasa.

“Berkat asuhan dan tunjuk ajar itulah yang menjadi azimat berharga buat dirinya dan rakan-rakan pemimpin yang lain untuk tidak jemu, lelah atau letih ketika menyantuni rakyat dalam apa jua situasi. Azimat yang kukuh terpakat kukuh ialah ungkapan ‘jangan mengeluh dengan rakyat’. Keprihatinan ini tidak boleh dibuat-buat. Sifat ini perlu hadir bersama keikhlasan dan kesungguhan. Walaupun kadang kala tiada siapa yang tahu kerana amanah ini perlu dilaksanakan walaupun tanpa liputan media kerana liputan dan keredaan Allah jua menjadi paksi kekuatan dalam menjalankan amanah,” ucapnya ketika dihubungi, hari ini.

Dato’ Mohd Nassuruddin memohon semua pihak mendoakannya dan rakan-rakan pemimpin yang lain agar terus tekun menyantuni rakyat.