Home Berita PAS Kelantan

Dapur Hijau didik suri rumah bertani

90
SHARE

KOTA BHARU, 4 Jul: Dasar Membangun Bersama Islam (MBI) mendidik masyarakat kembali kepada fitrah dalam menyelesaikan keperluan hidup seharian termasuklah menangani isu kenaikan harga barang.

Timbalan Menteri Besar Kelantan, YB Dato’ Mohd Amar Abdullah berkata tujuh tahun program Dapur Hijau kelolaan Kelantan Biotech Corporation Sdn Bhd (KBCSB) bertujuan memberi kesedaran kepada masyarakat khususnya kaum wanita untuk bercucuk tanam di sekeliling rumah.

Katanya, masyarakat diingatkan untuk selalu mendekatkan diri dengan alam melalui gaya hidup yang serasi, saling melengkapi sesama makhluk melalui kegiatan pertanian dan penternakan.
“Istilah alam semulajadi tidak tepat kerana semuanya makhluk (ciptaan) dan Allah SWT itulah penciptanya (al-Khalik).

“Syed Qutb menulis tentang keharmonian sistem rantaian kehidupan di dunia ini seperti manusia hirup oksigen dan lepaskan karbon dioksida sebaliknya tumbuh-tumbuhan pula mengeluarkan oksigen dan memerlukan karbon dioksida”, katanya ketika merasmikan Majlis Sambutan Hari Dapur Hijau Peringkat Negeri Kelantan di Dewan Wawasan Kompleks Belia dan Sukan Negeri Kelantan, Panji, semalam.

Sebelum itu, Exco Pertanian negeri, YB Tuan Mohd Saripudin Tuan Ismail memaklumkan peserta Program Dapur dilatih membuat dan menyimpan benih sayur-sayuran agar stok sumber produktiviti makanan tidak putus.

“Kita berterima kasih kepada Jabatan Pertanian Negeri Kelantan atas kerjasama teknikal yang diberi selaku pemantau program Dapur Hijau. 17 pemenang usahawan tani Dapur Hijau diberi dana untuk mengembangkan hasil tani daripada sekadar memakan hasil tani sendiri kepada menjual produk tani mereka kepada masyarakat sekitar pula”, katanya.

Mengulas lanjut, YB Mohd Saripudin bersyukur atas kejayaan program Dapur Hijau melahirkan 10 ribu peserta dalam kalangan suri rumah yang berjaya menanam sendiri sayur-sayuran untuk dimakan oleh keluarga mereka, sekali gus mengurangkan perbelanjaan dapur.

“Tahniah dan terima kasih kepada semua yang menjayakan majlis meraikan pencapaian para peserta dan membawa ke misi seterusnya iaitu Usahawan Dapur Hijau.

“Mereka diajar kaedah pertanian organik tanpa racun dan kimia sintetik, jadi sayur yang dimakan sangat segar, berkualiti dan dapat mengelak penyakit”, jelasnya.

Turut hadir, Pengarah Jabatan Pertanian Kelantan, Norbahani Zakaria.