Nukilan:
Puan Juliani Adin
Ketua Dewan Muslimat PAS Negeri Sarawak
24 Mac 2018
Dalam permusafiran ini, seperti minggu-minggu yang lain, muslimat Bintulu akan turun ke parlimen Sibuti untuk gerakerja pilihanraya. Perjalanan dirancang lebih awal, imam bagi mengetuai perjalanan dipilih, penyedia sarapan dan makan tengahari telah ada penyumbangnya, ibu yang terpaksa meninggalkan anak kecil, telah ada pengasuh yang menjaganya. Inilah rutin yang dibuat pada setiap minggu. Duit minyak kereta pun sudah ada penyumbangnya, Alhamdulillah.
Perjalanan ke kampung Ranchah Ranchah, Sibuti mengambil masa lebih kurang 2 jam dari Bintulu. Hari ini “Program Sekampit Beras Untuk Asnaf” dan “Serahan Untuk Balai Polis” di sini sempena Hari Polis berjalan dengan lancar dan jayanya. Kos tentulah dari keringat muslimat dan rezekinya dari Allah jua.
Hati berbunga bahagia dan gembira. Mudahnya hendak gembira dalam hidup ini, iaitu dengan pergi berjuang. Sampai di kampung Ranchah Ranchah, sahabat dari Miri sudah menunggu rombongan kami. Senyuman dan pelukan saling bertukar, bahagia lagi…. Indahnya ukhuwwah atas dasar aqidah ini. Walaupun tak sempat bertanya khabar masing-masing, misi diteruskan dengan memunggah barang sumbangan untuk asnaf ke rumah seorang Al Malak di sana. Majlis diteruskan dengan ucapan Pengarah Jabatan Pilihanraya Kawasan (JPrK) dan saya diminta memberi sedikit taujihat. Sempat berbicara tentang tuntutan Syahadah, tuntutannya serta menyelit kisah sahabat yang bernama Julaibib R.A. Seterusnya disusuli ucapan Ydp dan Ucapan Pesuruhjaya PAS Negeri Sarawak, Tuan Hj Jofri Jaraiee.
Sesudah itu, misi diteruskan dengan menziarahi asnaf yang memerlukan. Hati tersentuh sekali lagi, masyarakat dengan seribu cerita duka membuat sebak di dada. Hati berbicara, apalah sangat cerita tentang aku berbanding mereka. Muslimat dan muslimin yang bersama bersungguh-sungguh mengambil data, menjadi pendengar setia, mencatat rintih hiba masyarakat, mudahan ada yang dapat dibantu nanti.
Beginilah kisahnya pada setiap minggu, rutin yang berulang tak pernah jemu, bukan hanya di sini, bahkan seluruh pencinta kebenaran di seluruh bumi Darul Hana ini turun padang setiap minggu, dan uniknya perjuangan ini, perjuangan ini tidak bermusim. Gerakerja ini telah lama dijalankan dari dulu dengan istiqamah dan dengan izin Allah jua.
Rugi dunia dan akhirat mereka yang tidak bersama perjuangan ini. Kerana bahagia itu ada di sini, di hati yang paling dalam.
.::Catatan Sabtu::.
“Muslimat Memacu Kemenangan”
“Sejahtera Bersama Islam”
“Kamek Prihatin”
“Untukmu Sarawak”