Home Berita PAS Perlis

Tabayyun Menghapus Prasangka Dalam Jemaah

1920
SHARE

Oleh : Muhammad Hadi

KANGAR : Sikap bertabayyun atau sentiasa menyemak kesahihan sesuatu maklumat yang diterima mampu mengelak sifat prasangka sesama anggota PAS, demikian dijelaskan oleh Ketua Muslimat PAS Malaysia, Ustazah Nuridah Salleh.

Menurutnya, pada era kepesatan teknologi maklumat, setiap ahli seharusnya bijak dalam menerima dan menyebarkan sesuatu maklumat yang diterima kerana penyebaran maklumat berlaku dengan begitu pantas manakala sumbernya pula sukar dikenalpasti.

Justeru, beliau menyarankan agar setiap ahli PAS supaya sentiasa bertabayyun apabila menerima sesuatu maklumat di samping sentiasa merujuk kepada sumber-sumber rasmi parti bagi mendapatkan penjelasan, demi mengelakkan berlakunya prasangka yang boleh mengundang mudharat kepada parti.

Beliau berkata demikian ketika berucap merasmikan Mesyuarat Agung Tahunan PAS Kawasan Kangar di Kompleks PAS Negeri Perlis (KOMPAS) pada 24 Mac yang lalu.

Mengulas lanjut, beliau menjelaskan sesuatu maklumat atau isu berkaitan parti yang sedang tular, berkemungkinan sengaja dicipta oleh pihak musuh, bertujuan mencetuskan porak-poranda dan perpecahan dalam parti.

Justeru beliau menasihati ahli PAS agar bersabar dan tidak terpengaruh dengan isu-isu sedemikian selagi tidak mendapat maklumat yang sebenarnya.

“Sekiranya kita belum mendapat penjelasan (berkenaan sesuatu isu yang tular) bertahanlah diri kita dari menjadi kucar-kacir akibat resah dengan serangan saraf yang dicipta oleh musuh.

“Semua peringkat ahli mestilah mengamalkan tabayyun dalam menerima bahan berita terutamanya yang disampaikan oleh media perdana, media cetak, portal berita yang tidak mesra dengan kita, termasuklah bahan berita dari media sosial yang telah diketahui mempunyai agenda buruk terhadap perjuangan PAS.

“Oleh itu, hendaklah kita jadikan akhbar Harakah dan Harakahdaily sebagai rujukan dalam mendapatkan berita yang sahih,” katanya.