Home Berita PAS Melaka

Covid-19 Melaka | Wanita mengandung 24 minggu antara 7 maut hari ini

182
SHARE

Oleh IBNU JANIE

AYER KEROH, 16 Jul: Seorang wanita mengandung 24 minggu adalah antara tujuh mangsa kes kematian akibat Covid-19 di negeri ini hari ini, kata Jabatan Kesihatan Negeri Melaka (JKNM) dalam satu hantaran di laman Facebook rasmi jabatan itu sebentar tadi.

Menurut JKNM, mangsa yang berusia 32 tahun dan berasal daripada Mukim Telok Mas, Daerah Melaka Tengah itu disahkan positif pada 10 Julai lepas.

Mangsa yang mendapat jangkitan secara sporadik mengalami gejala demam, batuk dan sesak nafas.

Lima kes lagi melibatkan mangsa yang juga berasal daripada Daerah Melaka Tengah sementara satu kes lagi pula dikesan di Daerah Alor Gajah.

Kes positif baharu

JKNM juga melaporkan sebanyak 575 kes positif baharu direkodkan di negeri ini hari ini di mana 563 kes adalah daripada kategori kes tempatan, 10 kes daripada kategori kes import, sementara dua kes lagi adalah kes banduan/OKT/PATI.

Tambah JKNM lagi, daripada keseluruhan kes baharu itu juga, 435 kes dikesan di Daerah Melaka Tengah, 71 kes di Daerah Jasin dan 69 kes lagi dikesan di Daerah Alor Gajah.

Jabatan itu juga berkata sebanyak 371 kes sembuh baharu direkodkan hari ini, sementara 4138 kes masih dirawat berbanding 3934 semalam dengan 71 kes adalah daripada kes ICU dan 18 kes lagi daripada kategori bantuan alat pernafasan.

JKNM turut mendedahkan lima punca utama jangkitan bagi kes hari ini iaitu 251 kes melibatkan kluster kilang; 163 kes kontak keluarga; dua kes Institusi Penjara; 63 kes kontak tempat kerja bukan kilang, sementara 40 kes lagi saringan bergejala dalam kalangan orang ramai.

Laporan kluster

JKNM turut melaporkan dua kluster baharu kategori tempat kerja dikesan di Melaka hari ini iaitu Kluster Industri Lot Satu dan Kluster Satu Lagenda di mana kedua-duanya dikesan di Melaka Tengah.

Kluster Industri Lot Satu melibatkan sebuah kilang dengan merekodkan 26 kes positif setakat ini sementara Kluster Satu Lagenda pula melibatkan sebuah pasar raya dengan 39 kes positif dikesan setakat ini.

Kes seluruh negara

Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) pula melaporkan seramai 4,158,617 orang rakyat Malaysia telah mengambil dua doz lengkap vaksin sehingga semalam, dengan jumlah vaksin harian seramai 460,158 orang.

KKM juga melaporkan sebanyak 12,541 jumlah keseluruhan kes baharu direkodkan di seluruh negara hari ini, berbanding 13,215 kes semalam.

Selain itu, 115 kes kematian baharu direkodkan hari ini berbanding 110 kes semalam, sementara 6742 kes sembuh baharu turut direkodkan hari ini berbanding 6095 kes semalam.

Laporan itu juga menyatakan bahawa sebanyak 114,053 kes aktif semasa direkodkan sementara keseluruhan kes jangkitan terkumpul dicatatkan di Malaysia berjumlah 893,323 kes.

Selangor pula kekal mencatatkan kes baharu harian tertinggi antara negeri iaitu sebanyak 5512 kes, diikuti oleh Negeri Sembilan yang mencatatkan 1619 kes dengan semua negeri atau wilayah ada merekodkan kes baharu hari ini.