Oleh IBNU JANIE
AYER KEROH, 22 Ogos: Seorang wanita berusia 42 tahun yang menghidap penyakit jantung koronari adalah antara tiga kes kematian terbaru akibat Covid-19 hari ini, kata Jabatan Kesihatan Negeri (JKN) dalam satu hantaran di laman Facebook rasmi jabatan itu sebentar tadi.
Menurut JKN Melaka, mangsa yang berasal dari Mukim Alai, Daerah Melaka Tengah itu disahkan menghidap.Covid-19 pada 8 Jun lepas berpunca daripada jangkitan sporadik.
Sementara itu dua kes lagi melibatkan mangsa yang kedua-duanya lelaki berasal dari Mukim Ramuan China Kecil dalam Daerah Alor Gajah berumur 52 dan 79 tahun.
Kes positif baharu
Kata laporan itu lagi, sebanyak 558 kes positif baharu direkodkan hari ini dengan 554 kes adalah daripada kategori kes tempatan, satu kes daripada kategori kes import B dan tiga kes bagi kategori banduan/OKT/PATI.
Tambah laporan itu, daripada keseluruhan kes baharu itu juga, 323 kes dikesan di Daerah Melaka Tengah, 90 kes di Daerah Jasin dan 145 kes lagi dikesan di Daerah Alor Gajah.
Sebanyak 332 kes sembuh baharu direkodkan hari ini sementara 8749 kes masih dirawat dengan 93 kes adalah daripada kes ICU dan 27 kes lagi daripada kategori bantuan alat pernafasan.
Lima punca utama jangkitan bagi 558 kes hari ini ialah, 95 kes melibatkan kluster kilang; 170 kes melibatkan kontak keluarga; tiga kes melibatkan institusi penjara; 19 kes melibatkan tempat kerja bukan kilang; sementara 218 kes lagi adalah saringan bergejala dalam kalangan orang ramai.
Laporan kluster
Menurut JKN Melaka lagi, terdapat tiga kluster baharu direkodkan hari ini dengan semuanya melibatkan kluster tempat kerja di mana dua daripadanya dikesan di Daerah Melaka Tengah dan satu lagi dikesan di Daerah Jasin.
Kluster pertama ialah Kluster Jalan TDB Satu melibatkan Mukim Duyong dengan 24 kes positif direkodkan setakat hari ini; kluster kedua ialah Kluster Industri Lot Tujuh melibatkan sebuah kilang di Batu Berendam dengan 21 kes positif direkodkan setakat ini.
Sementara kluster ketiga ialah Kluster Industri Jalan Elkay Utama melibatkan sebuah kilang di Jasin dengan 39 kes positif direkodkan setakat ini.
Kes seluruh negara
Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) pula melaporkan seramai 18.1 juta rakyat Malaysia telah mengambil satu doz vaksin sementara 12.7 juta pula telah mengambil dua doz lengkap sehingga semalam.
KKM juga melaporkan sebanyak 19,807 kes positif baharu, 232 kes kematian baharu dan 18,200 kes sembuh baharu turut direkodkan hari ini.
Laporan itu juga menyatakan bahawa sebanyak 262,255 kes aktif semasa direkodkan sementara keseluruhan kes jangkitan terkumpul dicatatkan di Malaysia hari ini berjumlah 1,555,093 kes.
Selangor pula masih kekal mencatatkan kes baharu harian tertinggi antara negeri iaitu sebanyak 5379 kes, diikuti oleh Sabah yang mencatatkan 2638 kes dengan semua negeri atau wilayah ada merekodkan kes baharu hari ini.
|