Home Berita PAS Melaka

Covid-19 Melaka | Wanita 42 tahun antara 7 maut hari ini

200
SHARE

Oleh IBNU JANIE

AYER KEROH, 30 Jun: Seorang wanita berusia 42 tahun yang mendapat jangkitan daripada kontak kerja adalah antara tujuh kes kematian yang direkodkan di Negeri Melaka hari ini.

Demikian dinyatakan Jabatan Kesihatan Negeri Melaka (JKNM) dalam satu hantaran di laman Facebook rasmi jabatan itu sebentar tadi.

Menurut JKNM, mangsa yang berasal dari Mukim Bukit Baru, Daerah Melaka Tengah itu mempunyai sejarah penyakit kencing manis dan disahkan positif pada 13 Jun lepas.

Empat lagi kes maut juga dikesan di Daerah Melaka Tengah melibatkan wanita berusia 52 tahun dari Mukim Bukit Katil; seorang lelaki berumur 78 tahun dari Mukim Bandar Melaka; seorang wanita berumur 60 tahun dari Mukim Krubong dan seorang lagi lelaki berumur 66 tahun dari Mukim Batu Berendam.

Sementara dua kes lagi, masing-masing seorang wanita berusia 84 tahun dari Mukim Merlimau dalam Daerah Jasin dan seorang wanita berumur 61 tahun dari Mukim Tebong Daerah Alor Gajah.

Kes positif baharu

JKNM juga melaporkan sebanyak 233 kes positif baharu direkodkan hari ini dengan 213 kes adalah daripada kategori tempatan, empat kes daripada kategori import dan enam kes lagi daripada kategori banduan/OKT/PATI.

Tambah JKNM lagi, daripada keseluruhan kes baharu itu juga, 179 kes dikesan di Daerah Melaka Tengah, 19 kes di Daerah Jasin dan 25 kes lagi dikesan di Daerah Alor Gajah.

Jabatan itu juga berkata sebanyak 192 kes sembuh baharu direkodkan hari ini, sementara 2288 kes masih dirawat berbanding 2263 semalam dengan 89 kes adalah daripada kes ICU dan 17 kes lagi daripada kategori bantuan alat pernafasan.

Selain itu JKNM turut melaporkan bahawa nasih terdapat 39 kluster yang masih aktif di Negeri Melaka sehingga hari ini.

Kes seluruh negara

Kementerian Kesihatan Malaysia pula melaporkan sebanyak 6276 jumlah keseluruhan kes baharu direkodkan di seluruh negara hari ini, berbanding 6437 kes semalam.

Selangor pula kekal mencatatkan kes baharu harian tertinggi antara negeri iaitu sebanyak 2836 kes hari ini, diikuti oleh Negeri Sembilan yang mencatatkan 644 kes dengan semua negeri atau wilayah ada merekodkan kes baharu hari ini.

Laporan itu juga menyatakan bahawa sebanyak 62 kes kematian baharu direkodkan hari ini berbanding 107 kes semalam sementara keseluruhan kes jangkitan terkumpul dicatatkan di Malaysia berjumlah 751,979 kes.