Home Berita PAS Melaka

Covid-19 Melaka | Wanita 27 tahun antara 3 mangsa kematian terbaru

103
SHARE

Oleh IBNU JANIE

AYER KEROH, 15 Jul: Seorang wanita berusia 27 tahun yang mempunyai sejarah penyakit obesiti antara tiga mangsa kematian terbaru di negeri ini hari ini, kata Jabatan Kesihatan Negeri Melaka (JKNM) dalam satu hantaran di laman Facebook rasmi jabatan itu sebentar tadi.

Menurut JKNM, mangsa yang berasal dari Mukim Bukit Piatu, Daerah Melaka Tengah itu mendapat jangkitan di tempat kerja dan disahkan positif pada 29 Jun lepas selain turut mengalami gejala batuk, sakit tekak, demam, muntah dan cirit-birit.

Sementara dua lagi kes kematian, kedua-duanya juga wanita di mana salah seorang darinya berasal dari Mukim Durian Tunggal, Alor Gajah, berumur 75 tahun manakala seorang lagi berasal dari Mukim Sungai Rambai, Daerah Jasin yang berumur 59 tahun.

Laporan kes positif baharu

JKNM juga melaporkan sebanyak 484 kes positif baharu direkodkan di negeri ini hari ini di mana 455 kes adalah daripada kategori kes tempatan, 10 kes daripada kategori kes import, sementara 19 kes lagi adalah kes banduan/OKT/PATI.

Tambah JKNM lagi, daripada keseluruhan kes baharu itu juga, 329 kes dikesan di Daerah Melaka Tengah, 86 kes di Daerah Jasin dan 61 kes lagi dikesan di Daerah Alor Gajah.

Jabatan itu juga berkata sebanyak 324 kes sembuh baharu direkodkan hari ini, sementara 3934 kes masih dirawat berbanding 3777 semalam dengan 91 kes adalah daripada kes ICU dan 33 kes lagi daripada kategori bantuan alat pernafasan.

JKNM turut mendedahkan lima punca utama jangkitan bagi kes hari ini iaitu 122 kes melibatkan kluster kilang; 163 kes kontak keluarga; 15 kes melibatkan Institusi Penjara; 88 kes melibatkan kontak tempat kerja bukan kilang, sementara 58 kes lagi melibatkan saringan bergejala dalam kalangan orang ramai.

Laporan kluster

JKNM turut melaporkan terdapat pertambahan dua kluster baharu hari ini iaitu Kluster Tembok Ayer Keroh dan Kluster Industri Teknologi Cheng yang mana kedua-duanya daripada kategori kluster tempat kerja.

Kluster Tembok Ayer Keroh dikesan di Daerah Melaka Tengah iaitu di Penjara Dusun Datuk Murad melibatkan seramai 42 kes positif sementara Kluster Industri Teknologi Cheng dikesan di Daerah Melaka Tengah melibatkan sebanyak 68 kes positif.

Kes seluruh negara

Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) pula melaporkan seramai 4,003,266 orang rakyat Malaysia telah mengambil dua doz lengkap vaksin sehingga semalam, dengan jumlah vaksin harian seramai 434,828 orang.

KKM juga melaporkan sebanyak 13,215 jumlah keseluruhan kes baharu direkodkan di seluruh negara hari ini, berbanding 11,618 kes semalam.

Selain itu, 110 kes kematian baharu direkodkan hari ini berbanding 118 kes semalam, sementara 6095 kes sembuh baharu turut direkodkan hari ini berbanding 6377 kes semalam.

Laporan itu juga menyatakan bahawa sebanyak 108,369 kes aktif semasa direkodkan sementara keseluruhan kes jangkitan terkumpul dicatatkan di Malaysia berjumlah 880,782 kes.

Selangor pula kekal mencatatkan kes baharu harian tertinggi antara negeri iaitu sebanyak 6120 kes, diikuti oleh Negeri Sembilan yang mencatatkan 1603 kes dengan semua negeri atau wilayah ada merekodkan kes baharu hari ini.