Home Berita PAS Melaka

Covid-19 Melaka | TIADA kes baharu hari ini

436
SHARE

Oleh IBNU JANIE

MASJID TANAH, 9 Mac : Tiada kes baharu direkodkan di Negeri Melaka hari ini seperti yang dilaporkan Jabatan Kesihatan Negeri Melaka (JKNM) dalam satu hantaran di laman Facebook rasminya sebentar tadi.

Situasi ini seolah-olah memberi harapan bahawa situasi akan menjadi bertambah baik selepas beberapa minggu ini terdapat pengurangan ketara dalam rekod kes baharu harian di negeri ini.

JKNM juga melaporkan sebanyak 20 kes sembuh baharu direkodkan hari ini, sementara 100 kes pula masih dirawat di Hospital Melaka termasuk dua kes ICU manakala satu kes lagi dibantu dengan alat penafasan.

Tambah JKNM lagi, kluster yang masih aktif di Negeri Melaka ialah Kluster Kampung Gedang, Kluster Telok Mas, Kluster Tembok Sungai Udang, Kluster Jalan Masjid Tanah, Kluster Industri Serkam, Kluster Dialisis Masjid Tanah, Kluster Jalan Bukit Baru, Kluster Teknologi Berendam, Kluster Jalan Haji Malek, dan Kluster Teknologi Lot Enam.

Bagi status kategori zon untuk mukim-mukim dalam Negeri Melaka pula, bagi daerah Alor Gajah, daripada 31 mukim, 22 mukim berada di zon hijau, sembilan mukim lagi berada di zon kuning sementara tiada mukim berada di dalam zon jingga atau merah.

Bagi daerah Melaka Tengah pula, daripada keseluruhan 29 mukim, 16 mukim di dalam zon hijau; 13 mukim di dalam zon kuning; sementara tiada mukim di dalam zon jingga dan merah.

Bagi daerah Jasin pula, daripada 21 mukim, 14 mukim adalah di dalam zon hijau dan tujuh lagi adalah dalam zon kuning sementara tiada mukim dalam zon jingga dan merah.

Kementerian Kesihatan Malaysia pula melaporkan sebanyak 1280 kes baharu direkodkan di seluruh negara hari ini dengan Selangor mencatatkan kes baharu harian tertinggi antara negeri iaitu sebanyak 464 kes, diikuti oleh Johor yang mencatatkan 165 kes.

Laporan itu juga menyatakan bahawa sehingga kini keseluruhan kes dicatatkan di Malaysia berjumlah 316,269 kes dengan semua negeri atau wilayah ada merekodkan kes baharu hari ini kecuali Melaka dan Labuan.