Home Berita PAS Melaka

Covid-19 Melaka : Terbaru – Kluster Industri Batu Berendam

577
SHARE

Oleh : Ibnu Janie

MASJID TANAH, 12 Feb : Satu lagi kluster baharu diumumkan hari ini, iaitu Kluster Industri Berendam yang melibatkan kluster tempat kerja, kata Jabatan Kesihatan Negeri Melaka (JKNM) dalam satu hantaran di laman Telegram rasminya sebentar tadi.

Menurut laporan itu, kluster yang dikesan di mukim Batu Berendam itu melibatkan seramai 1,238 orang individu yang telah disaring dengan 41 orang didapati positif, 950 orang lagi negatif, sementara 247 orang lagi masih menunggu keputusan.

Tambah laporan itu lagi, satu kematian baharu turut dilaporkan hari hari ini melibatkan mangsa berumur 84 tahun berasal daripada mukim Telok Mas yang merupakan kontak rapat kepada kes positif daripada Kluster Industri Serkam.

Sementara itu sebanyak 45 kes baharu direkodkan di Negeri Melaka hari ini, dengan 30 daripadanya adalah kes tempatan, tiada kes Import B manakala 15 lagi kes banduan/OKT/PATI.

Tambah laporan itu lagi, berdasarkan daerah, daripada 92 kes itu, 35 kes dikesan di Melaka Tengah, tujuh kes di Alor Gajah sementara tiga kes lagi dikesan di Jasin.

JKNM juga melaporkan sebanyak 79 kes sembuh baharu direkodkan hari ini, 1019 kes masih dirawat di Hospital Melaka dan PKRC termasuk 11 kes ICU sementara lapan kes lagi dibantu dengan alat penafasan.

Tambah JKNM lagi, kluster yang masih aktif di Negeri Melaka ialah Kluster Telok Mas, Kluster Anak Air, Kluster Teknologi Kesidang, Kluster Dialisis Malim, Kluster Tembok Kemus, Kluster Pantai Peringgit, Kluster Jalan Usaha, Kluster Bukit Sebukor, Kluster Serkam Tengah, Kluster Tembok Sungai Udang, Kluster Tapak Bina Bali Residence, Kluster Bukit Palah, Kluster Jalan Kejora, Kluster Jalan Masjid Tanah, Kluster Industri Serkam, Kluster Dialisis Masjid Tanah, Kluster Jalan Bukit Baru dan Kluster Tekonologi Berendam, sementara kluster negeri lain yang melibatkan Melaka pula ialah Kluster Jalan Harapan, Kluster Industri TTJ Negeri Sembilan dan Kluster Jalan Ithnin Johor.

Bagi status kategori zon untuk mukim-mukim dalam Negeri Melaka pula, bagi daerah Alor Gajah, daripada 31 mukim, tujuh mukim berada di zon hijau, 23 mukim lagi berada di zon kuning, tiada mukim berada di dalam zon jingga manakala satu mukim dalam zon merah iatu mukim Sungai Baru Tengah (83 kes)

Bagi daerah Melaka Tengah pula, daripada keseluruhan 29 mukim, tiga zon hijau; 19 mukim di dalam zon kuning; lima mukim di dalam zon jingga; dan dua mukim lagi di dalam zon merah iaitu mukim Bachang (41 kes) dan Bandar Melaka (60 kes).

Bagi daerah Jasin pula, daripada 21 mukim, enam adalah di dalam zon hijau; 13 adalah dalam zon kuning; satu mukim dalam zon jingga dan satu mukim dalam zon merah iaitu Serkam (1358 kes).

Kementerian Kesihatan Malaysia pula melaporkan sebanyak 3318 kes baharu direkodkan di seluruh negara hari ini dengan Selangor hari ini masih mencatatkan kes baharu harian tertinggi antara negeri dengan mencatat sebanyak 1214 kes, diikuti oleh Johor yang mencatatkan 742 kes.

Laporan itu juga menyatakan bahawa sehingga kini keseluruhan kes dicatatkan di Malaysia berjumlah 258,306 kes dengan semua negeri atau wilayah ada merekodkan kes baharu hari ini kecuali Perlis.