Home Artikel PAS Melaka

Covid-19 Melaka | Satu lagi kes kematian baharu di mukim Merlimau

291
SHARE

Oleh IBNU JANIE

MASJID TANAH, 1 Mac : Satu  lagi kes kematian baharu direkodkan di Negeri Melaka hari ini melibatkan mangsa seorang lelaki berusia 82 tahun dari mukim Merlimau.

Demikian dilaporkan Jabatan Kesihatan Negeri Melaka (JKNM) dalam satu hantaran di laman Facebook rasminya sebentar tadi.

Menurut laporan itu, mangsa yang merupakan kes kematian ke 20 Covid-19 di Melaka itu mempunyai sejarah penyakit Diabetes Mellitus dan Ischemic Heart Disease.

Selain itu, sebanyak lapan kes positif baharu direkodkan di Negeri Melaka hari ini dengan hanya satu daripadanya adalah daripada kes tempatan, sementara tujuh kes lagi adalah banduan/OKT/PATI, tambah laporan itu lagi.

Menurut JKNM, berdasarkan daerah, daripada kesemua lapan kes itu juga semuanya dikesan di daerah Melaka Tengah.

JKNM juga melaporkan sebanyak 52 kes sembuh baharu direkodkan hari ini, 195 kes masih dirawat di Hospital Melaka dan PKRC termasuk lapan kes ICU sementara empat kes lagi dibantu dengan alat penafasan.

Tambah JKNM lagi, kluster yang masih aktif di Negeri Melaka ialah Kluster Telok Mas, Kluster Jalan Usaha, Kluster Bukit Sebukor, Kluster Tembok Sungai Udang, Kluster Bukit Palah, Kluster Jalan Masjid Tanah, Kluster Industri Serkam, Kluster Dialisis Masjid Tanah, Kluster Jalan Bukit Baru, Kluster Teknologi Berendam dan Kluster Teknologi Lot Enam sementara kluster negeri lain yang melibatkan Melaka pula ialah Kluster Jalan Gombak dan Kluster Perindustrian Cyber Senai.

Bagi status kategori zon untuk mukim-mukim dalam Negeri Melaka pula, bagi daerah Alor Gajah, daripada 31 mukim, 18 mukim berada di zon hijau, 13 mukim lagi berada di zon kuning sementara tiada mukim berada di dalam zon jingga atau zon merah.

Bagi daerah Melaka Tengah pula, daripada keseluruhan 29 mukim, 14 mukim di dalam zon hijau; 13 mukim di dalam zon kuning; satu mukim di dalam zon jingga; dan satu mukim dalam zon merah iaitu mukim Batu Berendam (54 kes).

Bagi daerah Jasin pula, daripada 21 mukim, 11 adalah di dalam zon hijau dan 10 lagi adalah dalam zon kuning sementara tiada mukim dalam zon jingga dan zon merah.

Kementerian Kesihatan Malaysia pula melaporkan sebanyak 1828 kes baharu direkodkan di seluruh negara hari ini dengan Johor mencatatkan kes baharu harian tertinggi antara negeri iaitu sebanyak 490 kes, diikuti oleh Selangor yang mencatatkan 453 kes.

Laporan itu juga menyatakan bahawa sehingga kini keseluruhan kes dicatatkan di Malaysia berjumlah 302,580 kes dengan semua negeri atau wilayah ada merekodkan kes baharu hari ini kecuali Labuan.