Home Artikel PAS Melaka

Covid-19 Melaka | Satu lagi kes kematian baharu di mukim Ayer Molek

263
SHARE

Oleh IBNU JANIE

MASJID TANAH, 10 Mac : Satu kes kematian baharu direkodkan di Negeri Melaka hari ini melibatkan mangsa seorang lelaki berusia 43 tahun dari mukim Ayer Molek.

Demikian dilaporkan Jabatan Kesihatan Negeri Melaka (JKNM) dalam satu hantaran di laman Facebook rasminya sebentar tadi.

Menurut laporan itu, mangsa yang merupakan kes kematian ke 21 Covid-19 di Melaka itu tidak mempunyai sebarang sejarah penyakit kronik dan mangsa juga tidak bekerja.

Selain itu, sebanyak 11 kes positif baharu direkodkan di Negeri Melaka hari ini dengan tujuh daripadanya adalah daripada kes tempatan dan tiada kes import dan banduan/OKT/PATI, tambah laporan itu lagi.

Menurut JKNM, berdasarkan daerah, daripada 11 kes itu, sembilan daripadanya dikesan di daerah Melaka Tengah dan masing-masing satu kes di daerah Alor Gajah dan Jasin.

JKNM juga melaporkan sebanyak 16 kes sembuh baharu direkodkan hari ini, sementara 94 kes masih dirawat di Hospital Melaka termasuk satu kes ICU dan tiada kes dibantu dengan alat penafasan.

Tambah JKNM lagi, kluster yang masih aktif di Negeri Melaka ialah Kluster Kampung Gedang, Kluster Telok Mas, Kluster Tembok Sungai Udang, Kluster Jalan Masjid Tanah, Kluster Industri Serkam, Kluster Dialisis Masjid Tanah, Kluster Jalan Bukit Baru, Kluster Teknologi Berendam, Kluster Jalan Haji Malek dan Kluster Teknologi Lot Enam.

Bagi status kategori zon untuk mukim-mukim dalam Negeri Melaka pula, bagi daerah Alor Gajah, daripada 31 mukim, 23 mukim berada di zon hijau, lapan mukim lagi berada di zon kuning sementara tiada mukim berada di dalam zon jingga atau zon merah.

Bagi daerah Melaka Tengah pula, daripada keseluruhan 29 mukim, 13 mukim di dalam zon hijau; 16 mukim di dalam zon kuning dan tiada mukim di dalam zon jingga atau zon merah.

Bagi daerah Jasin pula, daripada 21 mukim, 13 adalah di dalam zon hijau dan lapan lagi adalah dalam zon kuning sementara tiada mukim dalam zon jingga atau zon merah.

Kementerian Kesihatan Malaysia pula melaporkan sebanyak 1448 kes baharu direkodkan di seluruh negara hari ini dengan Selangor mencatatkan kes baharu harian tertinggi antara negeri iaitu sebanyak 561 kes, diikuti oleh Johor yang mencatatkan 273 kes.

Laporan itu juga menyatakan bahawa sehingga kini keseluruhan kes dicatatkan di Malaysia berjumlah 317,717 kes dengan semua negeri atau wilayah ada merekodkan kes baharu hari ini kecuali Putrajaya dan Labuan.