Home Berita PAS Melaka

Covid-19 Melaka | Nenek 83 tahun antara 4 mangsa kematian terbaru

76
SHARE

Oleh IBNU JANIE

AYER KEROH, 30 Mei : Seorang nenek berusia 83 tahun adalah salah seorang antara empat mangsa terbaru kematian akibat Covid-19 di Melaka hari ini.

Demikian dinyatakan Jabatan Kesihatan Negeri Melaka (JKNM) dalam satu hantaran di laman Facebook rasmi jabatan itu sebentar tadi.

Menurut JKNM, mangsa yang berasal daripada Mukim Durian Tunggal, Alor Gajah itu mempunyai latar belakang penyakit darah tinggi dan penyakit kolesterol dalam rawatan dan kes dikesan melalui saringan kontak rapat kes positif iaitu cucu beliau.

Satu kes lagi juga dikesan di Daerah Alor Gajah melibatkan seorang wanita berusia 69 tahun daripada Mukim Sungai Baru Tengah, sementara dua kes lagi dikesan di Daerah Melaka Tengah melibatkan seorang lelaki berumur 58 tahun daripada Mukim Bukit Rambai dan seorang lelaki berumur 71 tahun daripada Mukim Batu Berendam.

Kes jangkitan baharu Melaka

Tambah laporan itu lagi sebanyak 202 kes jangkitan baharu direkodkan di Negeri Melaka hari ini di mana 113 kes dikesan di Daerah Melaka Tengah, 56 kes di Daerah Jasin dan 33 kes lagi dikesan di Daerah Alor Gajah.

JKNM turut melaporkan daripada keseluruhan kes baharu itu juga sebanyak 198 kes adalah daripada kategori tempatan dan empat kes lagi daripada kes import.

Jabatan itu juga berkata sebanyak 128 kes sembuh baharu direkodkan hari ini, sementara 2255 kes masih dirawat dengan 55 kes adalah daripada kes ICU dan 11 kes lagi daripada kategori bantuan alat pernafasan.

Terdapat pertambahan kes bagi 35 kluster aktif sedia ada di Negeri Melaka iaitu enam kes daripada Kluster Industri Pengkalan Balak; 25 kes bagi Kluster Industri Batu Berendam; empat kes bagi Kluster Jalan Tanjung Minyak; dua kes bagi Kluster Industri Kelemak; tiga kes bagi Kluster Taman Kesang Indah; satu kes Kluster Jalan Dato Dol Said; satu kes bagi Kluster Terendak Permai; dua kes bagi Kluster Industri Batu 16 Bemban dan satu kes bagi Kluster Batu Lapan Bukit Rambai.

Kes seluruh negara

Sementara itu Kementerian Kesihatan Malaysia pula melaporkan sebanyak 6999 jumlah keseluruhan kes baharu direkodkan di seluruh negara hari ini dengan Selangor kekal mencatatkan kes baharu harian tertinggi antara negeri iaitu sebanyak 2477 kes diikuti oleh Kuala Lumpur yang mencatatkan 616 kes.

Laporan itu juga menyatakan bahawa sebanyak 79 kes kematian baharu direkodkan hari ini sementara keseluruhan kes jangkitan terkumpul dicatatkan di Malaysia berjumlah 565,533 kes dengan semua negeri atau wilayah ada merekodkan kes baharu hari ini.

 

 

AKIKAH MAKKAH EMRANSYAH

 

.         SAMBAL IBU SARI        .