Home Berita PAS Sabah

KENYATAAN DEWAN MUSLIMAT PAS SABAH

60
SHARE

Saya mewakili Dewan Muslimat PAS Negeri Sabah menyambut baik pengumuman Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin berhubung pelaksanaan ‘total lockdown’ fasa pertama yang bermula 1 hingga 14 Jun seluruh Negara.

Kita semua maklum perlaksanaan ‘total lockdown’ ini sekali lagi akan memberi kesan besar kepada aspek sosial dan ekonomi negara. Sehubungan dengan itu, kami merayu kepada seluruh lapisan masyarakat untuk bersatu hati dalam usaha melawan Covid-19 ini agar;

1. Bersabar dan mematuhi prosedur operasi standard (SOP) bukan untuk mengelakkan tindakan undang-undang tetapi bagi menjaga keselamatan diri dan keluarga.

2. Bagi yang belum mendaftar vaksinasi Covid-19, bersegeralah untuk bertindak sedemikian. Bantulah negara untuk mencapai imuniti kelompok (herd immunity) agar masyarakat dapat menjalankan aktiviti seperti biasa semula.

3. Memanfaatkan masa yang ada mendekatkan diri kepada Allah (atau mengikut kepercayaan agama masing-masing), memberi perhatian kepada pendidikan anak-anak, menimba ilmu dan sebarang aktiviti yang berfaedah dan positif.

4. Bagi kalangan yang bergantung sepenuhnya kepada pendapatan harian dan tiada simpanan, tidak keluar bekerja bermakna terputusnya bekalan makanan. Perhatikanlah sekiranya ada adik beradik, sanak saudara, sahabat atau jiran yang mengalami keadaan ini. Hulurkan bantuan sekiranya mampu, atau salurkan maklumat kepada JKM, pimpinan / NGO setempat agar mereka dibantu.

5. Sekiranya anda ingin berkongsi rezeki tetapi tidak tahu caranya, hubungi PAS di kawasan anda. Insya-Allah mereka sedia membantu secara sukarela.

6. Berikan kerjasama, titipkan doa dan sokongan moral kepada’ frontliner’ kita yang telah bertungkus lumus menjadi benteng negara. Mohonlah keampunan daripada Allah dan perbanyakkan doa agar Dia mengangkat kembali wabak ini. Semoga masyarakat khususnya di Sabah berjaya mengurangkan jangkitan Covid-19 dalam tempoh ‘lockdown’ fasa pertama sehinggalah kita dapat kembali kepada kehidupan biasa yang selamat. Insya-Allah.

Norsah Bongsu
Ketua
Dewan Muslimat PAS Sabah
30.05.2021
18 Syawal 1442