Home Berita PAS Melaka

Covid-19 Melaka | Lelaki 33 tahun maut hari ini selepas disahkan positif semalam

165
SHARE

Oleh IBNU JANIE

AYER KEROH, 2 Jul : Satu kematian baharu akibat Covid-19 direkodkan di Negeri Melaka hari ini melibatkan seorang lelaki berusia 33 tahun dari Mukim Masjid Tanah, Daerah Alor Gajah, yang baru disahkan positif semalam.

Demikian dinyatakan Jabatan Kesihatan Negeri Melaka (JKNM) dalam satu hantaran di laman Facebook rasmi jabatan itu sebentar tadi.

Menurut JKNM mangsa yang mempunyai sejarah penyakit kencing manis dan darah tinggi itu dipercayai mendapat jangkitan secara sporadik dan mengalami gejala demam; batuk dan hilang deria bau dan rasa.

Kes positif baharu

Sementara itu JKNM turut melaporkan sebanyak 202 kes positif baharu direkodkan hari ini dengan 196 kes adalah daripada kategori tempatan dan masing-masing tiga kes daripada kategori import dan kategori banduan/OKT/PATI.

Tambah JKNM lagi, daripada keseluruhan kes baharu itu juga, 168 kes dikesan di Daerah Melaka Tengah, lapan kes di Daerah Jasin dan 28 kes lagi dikesan di Daerah Alor Gajah.

Jabatan itu juga berkata sebanyak 216 kes sembuh baharu direkodkan hari ini, sementara 2430 kes masih dirawat berbanding 2445 semalam dengan 86 kes adalah daripada kes ICU dan 24 kes lagi daripada kategori bantuan alat pernafasan.

Laporan kluster

JKNM turut melaporkan tiada pertambahan kluster baharu dikesan hari ini sementara terdapat 35 kluster direkodkan masih aktif di Negeri Melaka.

Berita gembira buat rakyat Melaka kerana terdapat dua kluster diisytiharkan JKNM tamat hari ini iaitu Kluster Taman Kesang Indah dan Kluster Paya Rumput Utama.

Kes seluruh negara

Kementerian Kesihatan Malaysia pula melaporkan sebanyak 6982 jumlah keseluruhan kes baharu direkodkan di seluruh negara hari ini, berbanding 6988 kes semalam.

Selain itu, 73 kes kematian baharu direkodkan hari ini berbanding 84 kes semalam, sementara 6278 kes sembuh baharu turut direkodkan hari ini berbanding 5580 kes semalam.

Laporan itu juga menyatakan bahawa sebanyak 66,084 kes aktif semasa direkodkan sementara keseluruhan kes jangkitan terkumpul dicatatkan di Malaysia berjumlah 765,949 kes.

Selangor pula kekal mencatatkan kes baharu harian tertinggi antara negeri iaitu sebanyak 2907 kes hari ini, diikuti oleh Kuala Lumpur yang mencatatkan 637 kes dengan semua negeri atau wilayah ada merekodkan kes baharu hari ini kecuali Perlis.