Home Berita PAS Perak

350 asnaf terima sumbangan bakul makanan PAS Bukit Gantang

89
SHARE

350 asnaf terima sumbangan bakul makanan PAS Bukit Gantang
Oleh : Jaudin M Amin

BUKIT GANTANG – PAS Bukit Gantang menyantuni 350 golongan asnaf dengan penyampaian sumbangan bakul makanan melalui Pusat Khidmat PAS Bukit Gantang sepanjang Jun lalu.

Selain golongan asnaf yang terkesan dengan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) 3.0 waktu ini, Pusat Khidmat PAS turut menyalurkan bantuan kepada pesakit-pesakit Covid-19, individu yang dikuarantin dan ahli keluarga mereka.

Yang DiPertua PAS Kawasan Bukit Gantang, Ustaz Muhammad Faisal Abdul Rahman berkata, Tabung Bencana Covid-19 yang dilancarkan baru-baru ini telah berjaya mengumpulkan dana sebanyak RM10,579.00.

“Alhamdulillah, ianya telah melepasi sasaran awal sebanyak RM10,000 dan kita menjangkakan sumbangan akan bertambah lagi mencapai RM15,000 pada akhir bulan Julai ini.

“Walaupun PAS Kawasan sedang mengumpulkan dana untuk menaiktaraf Pusat Tarbiah PAS Kawasan dan melancarkan pula kutipan Aid4Palestine pada akhir Ramadan lalu, namun semangat ahli-ahli PAS Kawasan Bukit Gantang untuk berinfak tetap tinggi,” ujar Ustaz Faisal

Katanya lagi, memandangkan situasi penularan Covid-19 tidak menentu dan masih tinggi, adalah diharapkan keluarga yang terkesan dengan bencana ini dapat menghubungi Pusat Khidmat PAS Kawasan atau berhubung terus dengan JPKK di setiap kampung dan taman perumahan.

Sementara itu, menurut pegawai Pusat Khidmat, Hafizul Azizi Abdul Rashid ketika dihubungi menyatakan sumbangan telah disalurkan melalui Jawatankuasa Pembangunan dan Keselamatan Kampung (JPKK) dan agihan dibuat sejak PKP 3.0 dilaksanakan.

“Sebanyak 45 JPKK terlibat dalam penyampaian sumbangan melibatkan 17 JPKK di DUN Kuala Sepetang, 15 JPKK di DUN Changkat Jering dan 13 JPKK lagi di DUN Trong. Sebanyak 250 bakul makanan masih lagi berbaki dan akan ditambah untuk diagihkan pada bulan ini.

“Selain menyalurkan sumbangan kepada golongan yang terkesan dengan penularan pandemik Covid-19, Pusat Khidmat juga bersiap siaga menyalurkan bantuan kepada mangsa-mangsa banjir berikutan cuaca yang tidak menentu ketika ini,” jelas Hafizul lagi.

Pusat Khidmat PAS Kawasan Bukit Gantang beroperasi setiap hari Isnin hingga Jumaat mulai jam 9.00 pagi hingga 5.00 petang dan boleh dihubungi di talian 019-540 3449 (Fadhil Idris) atau 016-701 2001 (Hafizul Azizi).

Kepada mereka yang ingin menyumbang kepada Tabung Bencana Covid-19 PAS Kawasan Bukit Gantang, bolehlah disalurkan ke nombor akaun Bank Islam Malaysia Berhad (BIMB) – 08040010042092 dan memaklumkan sumbangan anda kepada Pegawai Pusat Khidmat.