Home Artikel PAS Melaka

Covid-19 Melaka : Lagi kluster baharu – Pantai Peringgit

571
SHARE

Oleh : Ibnu Janie

MASJID TANAH, 17 Jan : Satu lagi kluster baharu diisytiharkan hari ini iaitu Kluster Pantai Peringgit melibatkan satu kes yang mula dilaporkan pada 15 Januari lepas melibatkan daerah Melaka Tengah dan Jasin di Melaka.

Demikian dinyatakan Jabatan Kesihatan Negeri Melaka (JKNM) dalam satu hantaran di laman Telegram rasminya sebentar tadi.

Mengikut laporan itu sebanyak 24 kes positif Covid-19 telah dilaporkan dalam kluster itu melibatkan Warganegara Malaysia di mana kes indeks bagi kluster ini merupakan seorang wanita suri rumah berusia 54 tahun yang merupakan hasil saringan secara sukarela di klinik swasta.

Kata laporan itu lagi, individu itu mengalami gejala demam, selesema dan sakit kepala pada 31 Disember tahun lepas.

Laporan itu juga menyatakan seramai 128 individu telah disaring di mana 24 kes dikesan positif, 75 lagi dikesan negatif manakala 30 lagi masih menunggu keputusan.

Punca jangkitan dikatakan adalah kontak rapat kes positif PKD Johor Bahru yang juga anak kepada kes indeks.

Tambah laporan itu lagi, selain kluster baharu itu, kluster yang masih aktif di Negeri Melaka ialah Kluster Dialisis Malim, Kluster Teknologi Kesidang, Kluster Rambai, Kluster Telok Mas, Kluster Anak Air dan Kluster Tembok Kemus sementara kluster negeri lain yang melibatkan Melaka ialah Kluster Jalan Harapan dan Kluster Tanjung Megah.

Sementara itu sebanyak 60 kes baharu Covid-19 direkodkan di negeri Melaka hari ini dengan 56 daripadanya adalah daripada kes tempatan manakala empat lagi adalah daripada kes Import B.

Berikut adalah perincian kes dinyatakan di dalam poster infografik di bawah ini:

JKNM juga melaporkan, sebanyak 484 kes masih dirawat di Hospital Melaka dan PKRC hari ini termasuk 10 kes ICU sementara tiga kes lagi dibantu dengan alat penafasan.

Laporan itu juga menunjukkan mukim Cheng (43 kes) kembali menjadi zon merah hari ini selain mukim Telok Mas (99 kes) sementara tiga mukim lagi di dalam zon jingga iaitu Taboh Naning (25 kes), Bandar Melaka (22 kes) dan Serkam (37 kes).

12 daripada 31 mukim di daerah Alor Gajah, 24 daripada 29 mukim di daerah Melaka Tengah dan 14 daripada 21 mukim di daerah Jasin berada di dalam zon kuning hari ini.

Sementara itu Kementerian Kesihatan Malaysia pula melaporkan sebanyak 3339 kes baharu direkodkan di seluruh negara hari ini di mana Selangor mencatat kes tertinggi antara negeri dengan merekod 1314 kes dan diikuti oleh Sabah yang mencatatkan 393 kes.

Laporan itu juga menyatakan bahawa semua negeri atau wilayah ada merekodkan kes baharu hari ini.