Home Artikel PAS Melaka

Covid-19 Melaka | Kluster Jalan PKAK Ayer Keroh – terbaru!

634
SHARE

Oleh IBNU JANIE

AYER KEROH, 7 Mei : Satu lagi kluster baharu dikesan hari ini iaitu Kluster Jalan PKAK Ayer Keroh, kata Jabatan Kesihatan Negeri Melaka (JKNM) dalam satu hantaran di laman Facebook rasmi jabatan itu sebentar tadi.

Menurut laporan itu kluster tempat kerja ini melibatkan hotel di Ayer Keroh di mana punca jangkitan terhadap kes indeks adalah masih dalam siasatan.

“Disyaki jangkitan komuniti (sporadik) di tempat kerja kes indeks iaitu tempat tumpu pengunjung untuk berbuka puasa, seterusnya merebak dalam kalangan kontak terdekat di tempat kerja.

“Seramai 242 kontak rapat telah dikenalpasti. Sehingga kini seramai 10 orang dikesan positif,” kata laporan itu lagi.

Tambah laporan itu lagi, selain kluster baharu ini, kluster lain yang masih aktif di Negeri Melaka ialah Kluster Telok Mas, Tembok Sungai Udang, Jalan Kenanga, Teknologi Lot Enam, Jalan Mata Kuching, Malim Jaya, Jalan Gapam, Pengkalan Batik.

Selain itu juga Kluster Jalan Pokok Mangga, Jalan Melaka Raya, Kota Syahbandar, Jalan Kesidang, Teknologi Ayer Keroh, Kampung Hilir Air Gajah, Air Budi, Seri Jati, Sebatu, Jalan Emas, Jalan Dahlia Lima dan Kopitiam Machap Baru.

Sementara itu JKNM juga melaporkan sebanyak 74 kes positif baharu direkodkan di negeri Melaka hari ini dengan 70 daripadanya adalah daripada kategori kes tempatan, manakala empat kes lagi adalah kes import.

Jabatan itu juga melaporkan sebanyak 32 kes sembuh baharu direkodkan hari ini, sementara 556 kes masih dirawat di Hospital Melaka dengan 33 kes adalah daripada kes ICU dan tujuh kes lagi kategori bantuan alat pernafasan.

Bagi status kategori zon untuk mukim-mukim dalam Negeri Melaka pula, bagi daerah Alor Gajah, daripada 31 mukim, 17 mukim berada di zon hijau, lapan mukim berada di zon kuning, lima mukim dalam zon jingga dan satu mukim dalam kategori zon merah iaitu mukim Kelemak.

Bagi daerah Melaka Tengah pula, daripada keseluruhan 29 mukim, empat mukim di dalam zon hijau, 21 mukim lagi di dalam zon kuning, dua mukim dalam zon jingga dan dua mukim lagi dalam zon merah iaitu mukim Bandar Melaka dan mukim Bukit Katil.

Bagi daerah Jasin pula, daripada 21 mukim, 11 mukim adalah di dalam zon hijau, sementara sembilan lagi adalah dalam zon kuning dan satu di dalam zon merah iaitu Mukim Sebatu.

Kementerian Kesihatan Malaysia pula melaporkan sebanyak 4498 jumlah keseluruhan kes baharu direkodkan di seluruh negara hari ini dengan Selangor mencatatkan kes baharu harian tertinggi antara negeri iaitu sebanyak 1424 diikuti oleh Sarawak yang mencatatkan 750 kes.

Laporan itu juga menyatakan bahawa sehingga kini keseluruhan kes dicatatkan di Malaysia berjumlah 432,425 kes dengan semua negeri atau wilayah ada merekodkan kes baharu hari ini.

AKIKAH MAKKAH EMRANSYAH

 

.         SAMBAL IBU SARI        .