Home Berita PAS Melaka

Covid-19 Melaka | Kluster Industri Bukit Nian Sungai Siput antara 2 kluster baharu

415
SHARE

Oleh IBNU JANIE

AYER KEROH, 6 Jun : Terdapat pertambahan dua kluster baharu di Negeri Melaka hari ini iaitu Kluster Industri Bukit Nian Sungai Siput dan Kluster Kilometer 35 Kemendor.

Demikian dinyatakan Jabatan Kesihatan Negeri Melaka (JKNM) dalam satu hantaran di laman Facebook rasmi jabatan itu sebentar tadi.

Menurut laporan itu, Kluster Industri Bukit Nian ini melibatkan kilang di Kampung Sungai Siput Lubok China, dalam Daerah Alor Gajah.

Tambah JKNM lagi, kes indeks kluster ini dikesan positif setelah menjalani saringan bergejala di klinik di mana seramai 79 orang telah disaring dengan 41 kes disahkan positif di mana 40 daripadanya adalah pekerja kilang sementara seorang lagi adalah ahli keluarga.

Kluster baharu kedua iaitu Kluster Kilometer 35 Kemendor dalam Daerah Jasin pula merupakan kluster keagamaan melibatkan jemaah tetap masjid yang sentiasa hadir ke masjid itu untuk solat fardu harian, solat tarawih, dan solat hari raya.

Menurut laporan itu, kes bertumpu pada kumpulan yang beribadat di Masjid yang sama di mana punca jangkitan kes indeks bagi kluster ini adalah tidak diketahui dan disyaki sporadik daripada komuniti.

Sehingga kini 75 orang kontak rapat telah disaring dan 33 orang telah dikesan positif.

Sementara itu terdapat pertambahan kes bagi 33 kluster sedia ada iaitu 18 kes bagi Kluster Industri Batu Berendam; 10 kes dari Kluster Industri Pengkalan Balak; 15 kes bagi Kluster Batu 16 Bemban; empat kes daripada Kluster Terendak Permai dan dua kes lagi bagi Kluster Jalan Kolej Yayasan.

Selain itu terdapat dua kluster diisytiharkan tamat pada hari ini iaitu Kluster Jalan Dahlia Lima yang telah mengumpul 13 kes dan Kluster Jalan Melaka Raya yang telah mengumpul 18 kes.

Kes jangkitan baharu

Tambah laporan itu lagi sebanyak 225 kes jangkitan baharu direkodkan hari ini di mana 217 kes adalah daripada kategori tempatan, lima kes daripada kategori kes import dan tiga kes banduan/OKT.

JKNM turut melaporkan bahawa daripada keseluruhan kes baharu itu juga 122 kes dikesan di Daerah Melaka Tengah, 33 kes di Daerah Jasin dan 70 kes lagi dikesan di Daerah Alor Gajah.

Jabatan itu juga berkata sebanyak 179 kes sembuh baharu direkodkan hari ini, sementara 1994 kes masih dirawat dengan 67 kes adalah daripada kes ICU dan 13 kes lagi daripada kategori bantuan alat pernafasan.

Kes kematian baharu

JKNM turut melaporkan sebanyak dua kes kematian baharu direkodkan di Negeri Melaka hari ini dengan kes pertama melibatkan seorang wanita berumur 37 tahun daripada Mukim Sungai Baru Ulu, Daerah Alor Gajah.

Mangsa yang mempunyai sejarah penyakit gastritis dan berjangkit melalui kontak rapat mula mengalami gejala pada 24 Mei sebelum disahkan dijangkiti Covid-19 pada 28 Mei lepas.

Sementara satu lagi kes kematian pula melibatkan seorang lelaki berumur 55 tahun daripada Mukim Kesang dalam Daerah Jasin yang mempunyai sejarah penyakit kencing manis dan darah tinggi

Kes seluruh negara

Kementerian Kesihatan Malaysia pula melaporkan sebanyak 6241 jumlah keseluruhan kes baharu direkodkan di seluruh negara hari ini, lebih rendah daripada semalam.

Selangor pula kekal mencatatkan kes baharu harian tertinggi antara negeri iaitu sebanyak 2178 kes diikuti oleh Negeri Sarawak yang mencatatkan 600 kes.

Laporan itu juga menyatakan bahawa sebanyak 87 kes kematian baharu direkodkan hari ini sementara keseluruhan kes jangkitan terkumpul dicatatkan di Malaysia berjumlah 616,815 kes dengan semua negeri atau wilayah ada merekodkan kes baharu hari ini.