Home Artikel PAS Melaka

Covid-19 Melaka : Kluster baharu Tembok Kemus Taboh Naning

382
SHARE

Oleh : Ibnu Janie

MASJID TANAH, 15 Jan : Jabatan Kesihatan Negeri Melaka (JKNM) hari ini mengumumkan kewujudan satu kluster baharu iaitu Kluster Tembok Kemus di mukim Taboh Naning melibatkan banduan di Penjara Satelite A Famosa, seperti dinyatakan jabatan itu dalam satu hantaran di laman Telegram rasminya sebentar tadi.

Menurut JKNM seramai 151 orang daripada kluster ini telah disaring melibatkan 22 kes positif, 128 kes negatif dan satu kes lagi sedang menunggu keputusan.

Tambah laporan itu lagi, kluster yang masih aktif di Negeri Melaka ialah Kluster Dialisis Malim, Kluster Teknologi Kesidang, Kluster Rambai, Kluster Telok Mas dan Kluster Anak Air sementara kluster negeri lain yang melibatkan Melaka ialah Kluster Jalan Harapan dan Kluster Tanjung Megah.

Bagi kes baharu harian pula, JKNM berkata sebanyak 58 kes baharu Covid-19 direkodkan di negeri Melaka hari ini dengan 50 daripadanya adalah daripada kes tempatan manakala lapan lagi adalah daripada kes Import B.

Tambah laporan itu lagi, sebanyak 459 kes masih dirawat di Hospital Melaka dan PKRC hari ini termasuk 10 kes ICU sementara tiga kes lagi dibantu dengan alat penafasan.

Berikut adalah perincian kes dinyatakan di dalam poster infografik di bawah ini:

Laporan itu juga menyatakan dua mukim masih berada di dalam zon merah hari ini iaitu mukim Telok Mas (95 kes) dan Jasin (92 kes) sementara tiga mukim lagi di dalam zon jingga iaitu Taboh Naning (22 kes), Cheng (38 kes) dan Serkam (21 kes).

Sembilan daripada 31 mukim di daerah Alor Gajah, 25 daripada 29 mukim di daerah Melaka Tengah dan 12 daripada 21 mukim di daerah Jasin berada di dalam zon kuning hari ini.

Sementara itu Kementerian Kesihatan Malaysia pula melaporkan sebanyak 3211 kes baharu direkodkan di seluruh negara hari ini di mana Selangor mencatat kes tertinggi antara negeri dengan merekod 889 kes dan diikuti oleh Johor yang mencatatkan 535 kes.

Laporan itu juga menyatakan bahawa semua negeri atau wilayah ada merekodkan kes baharu hari ini kecuali Perlis.