Home Berita PAS Melaka

Covid-19 Melaka | Kluster baharu Kampung Bukit Tembakau

160
SHARE

Oleh IBNU JANIE

AYER KEROH, 18 Okt: Satu kluster baharu direkodkan hari ini iaitu Kluster Kampung Bukit Tembakau yang dikesan di Daerah Jasin seperti dilaporkan Jabatan Kesihatan Negeri (JKN) Melaka dalam satu hantaran di laman Facebook rasmi jabatan itu sebentar tadi.

Menurut JKN Melaka, kluster yang melibatkan sebuah institusi keagamaan itu sehingga kini telah merekodkan sebanyak 47 kes positif manakala punca jangkitan adalah sporadik dan telah menular dalam keluarga dan jemaah.

Sebanyak 29 kluster dilaporkan masih aktif manakala satu kluster pula diisytiharkan tamat hari ini iaitu Kluster Industri Sawit Jalan Rim.

Laporan kes positif baharu

Tambah JKN Melaka lagi, sebanyak 211 kes positif baharu direkodkan hari ini dengan 203 daripadanya adalah daripada kategori kes tempatan, tiada kes daripada kategori import A, tujuh kes daripada kes import B dan satu kes kategori banduan/OKT/PATI.

Menurut laporan itu lagi, daripada keseluruhan kes baharu itu juga, 123 kes dikesan di Daerah Melaka Tengah, 37 kes di Daerah Jasin dan 51 kes lagi dikesan di Daerah Alor Gajah.

Sebanyak 287 kes sembuh direkodkan hari ini menjadikan sebanyak 2982 kes masih dirawat, berkurang berbanding 3060 kes semalam dengan 14 kes adalah daripada kes ICU dan tiga kes lagi daripada kategori bantuan alat pernafasan.

Laporan kes kematian

Tambah JKN Melaka lagi, sebanyak dua kes kematian baharu direkodkan hari ini di mana kedua-duanya mangsa adalah lelaki melibatkan seorang dari Daerah Jasin berumur 55 tahun dan seorang lagi mangsa dari Daerah Melaka Tengah berumur 69 tahun.

Laporan seluruh negara

Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) pula melaporkan sebanyak 5434 kes baharu direkodkan hari ini merosot sedikit berbanding 6145 kes semalam menjadikan jumlah keseluruhan kes ialah sebanyak 2,396,121 kes.

Selangor menjadi negeri yang mencatatkan kes tertinggi antara negeri iaitu sebanyak 800 kes, diikuti oleh Johor dengan 698 kes, Sarawak (694), Kelantan (643), Sabah (497) dan Perak (363).

Kedah pula merekodkan 324 kes, Terengganu (311), Pahang (253), Pulau Pinang (232), Kuala Lumpur (223), Negeri Sembilan (151), Perlis (18), Putrajaya (14) sementara Labuan pula hanya merekodkan dua kes.