Home Artikel PAS Melaka

Covid-19 Melaka | Kluster baharu Jalan Serkam

123
SHARE

Oleh IBNU JANIE

AYER KEROH, 11 Mei : Satu lagi kluster baharu diumumkan hari ini iaitu Kluster Jalan Serkam melibatkan pekerja-pekerja pentadbiran kilang di Jalan Serkam yang menular kepada ahli keluarga pekerja-pekerja kilang tersebut.

Demikian dinyatakan Jabatan Kesihatan Negeri Melaka (JKNM) dalam satu hantaran di laman Facebook rasmi jabatan itu sebentar tadi.

Menurut laporan itu, kluster ini melibatkan kes dari daerah Melaka Tengah, Jasin dan PKD Ledang, Johor.

“Punca kes indeks bagi kluster ini disyaki sporadik daripada komuniti. Pada 11 Mei 2021, jumlah kes bagi kluster ini seramai 20 orang (18 kes Melaka dan dua kes Johor. 157 kontak rapat telah dikesan dan disaring,” kata laporan itu.

Menurut laporan itu lagi, selain kluster baharu ini, kluster lain yang masih aktif di Negeri Melaka ialah Kluster Telok Mas, Tembok Sungai Udang, Taman Malim Jaya, Jalan Gapam, Pengkalan Batik, Jalan Pokok Mangga, Jalan Melaka Raya, Kota Syahbandar, Jalan Kesidang, Teknologi Ayer Keroh, Kampung Hilir Air Gajah, Air Budi, Seri Jati, Kluster Sebatu, Jalan Emas, Jalan Dahlia Lima, Kopitiam Machap Baru, Jalan PKAK Ayer Keroh dan Jalan Limbungan Jaya.

Sementara itu sebanyak 79 kes positif baharu direkodkan di negeri Melaka hari ini di mana 71 daripadanya adalah daripada kes tempatan, manakala lapan kes lagi adalah kes import.

Jabatan itu juga melaporkan sebanyak 39 kes sembuh baharu direkodkan hari ini, sementara 696 kes masih dirawat di Hospital Melaka dengan 37 kes adalah daripada kes ICU dan tujuh kes lagi daripada kategori bantuan alat pernafasan.

Bagi status kategori zon untuk mukim-mukim dalam Negeri Melaka pula, bagi daerah Alor Gajah, daripada 31 mukim, 14 mukim berada di zon hijau, 10 mukim berada di zon kuning, lima mukim dalam zon jingga dan dua mukim dalam kategori zon merah iaitu mukim Machap dan Sungai Baru Ilir.

Bagi daerah Melaka Tengah pula, daripada keseluruhan 29 mukim, dua sahaja mukim berada di dalam zon hijau, 21 mukim di dalam zon kuning, empat mukim dalam zon jingga dan dua mukim lagi dalam zon merah iaitu mukim Bandar Melaka dan mukim Bukit Katil.

Bagi daerah Jasin pula, daripada 21 mukim, 10 mukim adalah di dalam zon hijau, sembilan mukim adalah dalam zon kuning, satu mukim dalam kategori zon jingga dan satu lagi di dalam zon merah iaitu Mukim Sebatu.

Kementerian Kesihatan Malaysia pula melaporkan sebanyak 3973 jumlah keseluruhan kes baharu direkodkan di seluruh negara hari ini dengan Selangor mencatatkan kes baharu harian tertinggi antara negeri iaitu sebanyak 1328 kes diikuti oleh Sarawak yang mencatatkan 512 kes.

Laporan itu juga menyatakan bahawa sehingga kini keseluruhan kes dicatatkan di Malaysia berjumlah 448,457 kes dengan semua negeri atau wilayah ada merekodkan kes baharu hari ini kecuali Perlis.

AKIKAH MAKKAH EMRANSYAH

 

.         SAMBAL IBU SARI        .