Home Berita PAS Melaka

Covid-19 Melaka | Kluster baharu Industri Teknologi Cheng 28

309
SHARE

Oleh IBNU JANIE

AYER KEROH, 15 Jun : Satu lagi kluster baharu dikesan di Negeri Melaka hari ini iaitu Kluster Industri Teknologi Cheng 28, lapor Jabatan Kesihatan Negeri Melaka (JKNM) dalam satu hantaran di laman Facebook rasmi jabatan itu sebentar tadi.

Menurut JKNM kluster tempat kerja ini dikesan di Taman Teknologi Cheng Melaka di mana kes indeks adalah pekerja kilang yang merupakan kontak rapat kepada ahli keluarga yang positif dan seterusnya jangkitan menular di kilang tersebut.

Kes ini melibatkan 79 kontak rapat di mana 27 orang telah dikesan positif.

“Kilang diarahkan tutup selama tujuh hari. Aktiviti sanitasi menyeluruh, pengesanan dan siasatan kes sedang dijalankan,” kata laporan itu.

Tambah JKNM lagi, masih terdapat 29 kluster aktif di negeri Melaka (kluster Melaka) dan satu kluster Luar Melaka.

Terdapat pertambahan kes bagi kluster sedia ada iaitu 10 kes daripada Kluster Industri Batu Berendam; tiga kes daripada Kluster Pengkalan Balak; sembilan kes daripada Kluster Industri Jalan Usaha Merlimau; dua kes daripada Kluster Terendak Permai.

Kes jangkitan baharu

JKNM juga melaporkan sebanyak 155 kes jangkitan baharu direkodkan hari ini di mana 148 kes daripadanya adalah daripada kategori tempatan, lima kes daripada kategori import sementara dua kes lagi daripada kategori banduan/OKT.

Menurut JKNM daripada keseluruhan kes baharu itu juga, 84 kes dikesan di Daerah Melaka Tengah, 35 kes di Daerah Jasin dan 36 kes lagi dikesan di Daerah Alor Gajah.

Jabatan itu juga berkata sebanyak 217 kes sembuh baharu direkodkan hari ini, sementara 1619 kes masih dirawat dengan 60 kes adalah daripada kes ICU dan 19 kes lagi daripada kategori bantuan alat pernafasan.

Kes kematian baharu

Hanya satu kes kematian dilaporkan hari ini melibatkan seorang warga emas lelaki berusia 91 tahun daripada Mukim Bukit Piatu Melaka Tengah.

Mangsa yang disahkan positif pada 7 Jun lepas mempunyai sejarah penyakit kencing manis, darah tinggi, penyakit jantung dan buah pinggang kronik.

Kes seluruh negara

Kementerian Kesihatan Malaysia pula melaporkan sebanyak 5419 jumlah keseluruhan kes baharu direkodkan di seluruh negara hari ini, lebih tinggi daripada semalam.

Selangor pula kekal mencatatkan kes baharu harian tertinggi antara negeri sebanyak 1996 kes hari ini, lebih tinggi daripada semalam diikuti oleh Sarawak yang mencatatkan 718 kes.

Laporan itu juga menyatakan bahawa sebanyak 101 kes kematian baharu direkodkan hari ini sementara keseluruhan kes jangkitan terkumpul dicatatkan di Malaysia berjumlah 667,876 kes dengan semua negeri atau wilayah ada merekodkan kes baharu hari ini.