Home Berita PAS Melaka

Covid-19 Melaka | Kes positif baharu naik semula 401 kes

141
SHARE

Oleh IBNU JANIE

AYER KEROH, 24 Sept: Bilangan kes positif baharu harian Covid-19 Negeri Melaka hari ini meningkat semula melebihi 400 kes dengan merekodkan sebanyak 401 kes seperti yang dilaporkan Jabatan Kesihatan Negeri (JKN) dalam satu hantaran di laman Facebook rasmi jabatan itu sebentar tadi.

Menurut JKN Melaka, daripada 401 kes positif baharu itu, 396 kes adalah daripada kategori kes tempatan, empat kes daripada kategori kes import B, sementara satu kes adalah daripada kategori banduan/OKT/PATI.

Tambah laporan itu, daripada keseluruhan kes baharu itu juga, 208 kes dikesan di Daerah Melaka Tengah, 66 kes di Daerah Jasin dan 127 kes lagi dikesan di Daerah Alor Gajah.

Sebanyak 568 kes sembuh baharu direkodkan hari ini menjadikan sebanyak 5889 kes masih dirawat, berkurang berbanding 6066 kes semalam dengan 41 kes adalah daripada kes ICU dan 23 kes lagi daripada kategori bantuan alat pernafasan.

Laporan kes kematian

Menurut jabatan itu lagi, hanya tiga kes kematian baharu direkodkan hari ini dengan ketiga-tiganya dikesan di Daerah Melaka Tengah dan kesemuanya lelaki berumur 37, 62 dan 71 tahun.

Kluster baharu

Dua kluster baharu direkodkan hari ini iaitu Kluster Tapak Bina Jalan Gapam yang dikesan di Daerah Jasin dan Kluster Jalan DSH Mohd Zin yang dikesan di Daerah Melaka Tengah.

Kluster Tapak Bina Jalan Gapam adalah kluster tempat kerja di tapak bina yang telah mencatatkan 83 kes setakat hari ini, sementara Kluster Jalan DSH Mohd Zin yang dikesan di Mukim Batu Berendam pula melibatkan 32 kes setakat hari ini.

Laporan seluruh negara

Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) pula melaporkan sebanyak 14,554 kes baharu direkodkan hari ini berbanding 13,754 kes semalam menjadikan jumlah keseluruhan kes ialah sebanyak 2,171,232 kes.

Sarawak kembali mencatatkan kes tertinggi antara negeri iaitu sebanyak 2825 kes, diikuti oleh Selangor dengan 2244 kes, Johor (1807), Sabah (1273), Pulau Pinang (1231), Perak (1144), Kelantan (910), Kedah (908), Terengganu (690), Pahang (598), Kuala Lumpur (271), Negeri Sembilan (157), Perlis (65), Putrajaya (30) sementara Labuan tidak merekodkan sebarang kes baharu.

PENGUMUMAN KHAS JKN MELAKA

JKN Melaka telah mengumumkan bahawa bermula 30 Ogos individu di Negeri Melaka yang berusia 50 tahun ke atas yang belum mendapat tarikh temujanji dalam aplikasi Mysejahtera boleh melakukan ‘walk in’ ke Pusat Pemberian Vaksin (PPV) Awam seperti di infografik dari jam 8.00 pagi hingga 1 tengahari.

Seramai maksimum 50 orang individu boleh melakukan ‘walk ini’ pada setiap hari di setiap PPV.

Namun bagi individu yang telah menerima tarikh temujanji, jabatan itu menasihatkan mereka agar patuh tarikh temujanji yang telah diberi.