Home Berita PAS Melaka

Covid-19 Melaka | Ibu mengandung 2 bulan antara 3 kes kematian baharu

247
SHARE

Oleh IBNU JANIE

AYER KEROH, 18 Jun: Seorang ibu berumur 35 tahun yang sedang mengandung dua bulan adalah salah satu daripada tiga kes kematian baharu akibat Covid-19 direkodkan di Negeri Melaka hari ini.

Demikian dinyatakan Jabatan Kesihatan Negeri Melaka (JKNM) dalam satu hantaran di laman Facebook rasmi jabatan itu sebentar tadi.

Menurut JKNM, mangsa yang berasal daripada Mukim Bukit Rambai dalam Daerah Melaka Tengah disahkan positif pada 2 Jun lepas dengan mengalami gejala demam dan selsema.

Tambah laporan itu lagi, mangsa yang mempunyai sejarah penyakit astma mendapat jangkitan melalui kontak rapat keluarga iaitu anak saudaranya.

Selain itu dua lagi kes kematian, kedua-duanya lelaki, di mana seorang daripadanya berumur 84 tahun berasal daripada Mukim Kuala Sungai Baru dalam Daerah Alor Gajah manakala seorang lagi bèrumur 44 tahun berasal daripada Mukim Kesang dalam Daerah Jasin.

Kes jangkitan baharu

JKNM juga melaporkan sebanyak 223 kes positif jangkitan baharu direkodkan hari ini di mana 209 kes daripadanya adalah daripada kategori tempatan, sementara 14 kes lagi adalah daripada kategori import.

Menurut JKNM daripada keseluruhan kes baharu itu juga, 106 kes dikesan di Daerah Melaka Tengah, 42 kes di Daerah Jasin dan 75 kes lagi dikesan di Daerah Alor Gajah.

Jabatan itu juga berkata sebanyak 186 kes sembuh baharu direkodkan hari ini, sementara 1589 kes masih dirawat dengan 66 kes adalah daripada kes ICU dan 16 kes lagi daripada kategori bantuan alat pernafasan.

Laporan Kluster

JKNM juga melaporkan terdapat penambahan dua kluster baharu di Melaka pada hari ini iaitu Kluster Industri Ayer Keroh dan Kluster Industri Jalan Mawar.

Kluster Industri Ayer Keroh melibatkan kilang di Daerah Melaka Tengah di mana kes pertama bergejala dilaporkan positif melalui saringan di klinik swasta.

Sebanyak 101 kontak rapat telah dikenalpasti terdiri daripada 59 orang kontak keluarga, lima orang kontak rapat sosial dan 37 orang kontak tempat kerja di mana 25 orang telah disahkan positif.

Sementara Kluster Industri Jalan Mawar pula melibatkan kilang di Machap Umboo, Alor Gajah di mana 106 orang kontak dikenalpasti terlibat iaitu 99 kontak pekerja kilang dan tujuh kontak keluarga.

Daripada saringan yang dijalankan 47 kes disahkan positif termasuk kes indeks sementara 53 lagi negatif.

Selain itu JKNM turut melaporkan terdapat 30 kluster aktif (termasuk dua kluster baharu) di negeri Melaka (kluster Melaka) dan satu kluster luar Melaka.

Terdapat pertambahan kes bagi kluster sedia ada iaitu 23 kes bagi Kluster Jalan Usaha Merlimau; 16 kes bagi Kluster Bukit Godek; 12 kes Kluster Industri Batu Berendam; lapan kes Kluster Jalan Tun Fatimah dan dua kes Kluster Teknologi Cheng.

Kes seluruh negara

Kementerian Kesihatan Malaysia pula melaporkan sebanyak 6440 jumlah keseluruhan kes baharu direkodkan di seluruh negara hari ini, lebih tinggi daripada semalam.

Selangor pula kekal mencatatkan kes baharu harian tertinggi antara negeri sebanyak 2095 kes hari ini, lebih tinggi daripada semalam diikuti oleh Negeri Sembilan yang mencatatkan 870 kes dengan semua negeri atau wilayah ada merekodkan kes baharu hari ini.

Laporan itu juga menyatakan bahawa sebanyak 74 kes kematian baharu direkodkan hari ini sementara keseluruhan kes jangkitan terkumpul dicatatkan di Malaysia berjumlah 685,204 kes.