Home Berita PAS Melaka

Covid-19 Melaka | 835 kes baharu!

155
SHARE

Oleh IBNU JANIE

AYER KEROH, 10 Jul: Sebanyak 835 kes baharu direkodkan di negeri Melaka hari ini di mana 261 kes melibatkan warga negara sementara 574 kes lagi adalah bukan warganegara.

Demikian dinyatakan Jabatan Kesihatan Negeri Melaka (JKNM) dalam satu hantaran di laman Facebook rasmi jabatan itu sebentar tadi.

Menurut JKNM, daripada 835 kes positif baharu itu pula, 783 kes adalah daripada kategori kes tempatan, empat kes daripada kategori kes import dan 48 kes daripada kategori banduan/OKT/PATI.

Tambah JKNM lagi, daripada keseluruhan kes baharu itu juga, 741 kes dikesan di Daerah Melaka Tengah, 24 kes di Daerah Jasin dan 70 kes lagi dikesan di Daerah Alor Gajah.

JKNM turut memaklumkan bahawa 607 kes daripada kes keseluruhan ini adalah melibatkan kluster tempat kerja.

Jabatan itu juga berkata sebanyak 177 kes sembuh baharu direkodkan hari ini, sementara 3146 kes masih dirawat berbanding 2491 semalam dengan 80 kes adalah daripada kes ICU dan 18 kes lagi daripada kategori bantuan alat pernafasan.

Laporan kluster

Terdapat satu kluster baharu diumumkan hari ini daripada kategori kluster komuniti iaitu Kluster Rebana Jernih yang dikesan di Daerah Alor Gajah.

Seramai 26 kontak kes telah disaring setakat ini dengan 24 kes daripadanya disahkan positif.

Jangkitan kluster ini berlaku dalam komuniti seterusnya merebak semasa ziarah antara rumah dan pergaulan di antara ahli keluarga terlibat

Selain itu JKNM turut memaklumkan bahawa masih terdapat 33 kluster yang masih aktif di Negeri Melaka dengan lima daripadanya adalah kluster luar Melaka.

Kes kematian

Menurut JKNM lagi, sebanyak tiga kes kematian direkodkan di negeri ini hari ini dengan dua kes direkodkan di Daerah Melaka Tengah sementara satu kes lagi dikesan di Daerah Alor Gajah.

Dua kes yang berlaku di Melaka Tengah melibatkan seorang mangsa lelaki berumur 36 tahun dari Mukim Klebang Besar dan seorang mangsa juga lelaki berumur 80 tahun dari Mukim Bukit Baru, manakala satu lagi kes dari Daerah Alor Gajah dikesan di Mukim Kuala Sungai Baru melibatkan seorang wanita berusia 62 tahun.

Kes seluruh negara

Kementerian Kesihatan Malaysia pula melaporkan sebanyak 9353 jumlah keseluruhan kes baharu direkodkan di seluruh negara hari ini, berbanding 9180 kes semalam.

Selain itu, 87 kes kematian baharu direkodkan hari ini berbanding 77 kes semalam, sementara 5910 kes sembuh baharu turut direkodkan hari ini berbanding 5713 kes semalam.

Laporan itu juga menyatakan bahawa sebanyak 84,021 kes aktif semasa direkodkan sementara keseluruhan kes jangkitan terkumpul dicatatkan di Malaysia berjumlah 827,191 kes.

Selangor pula kekal mencatatkan kes baharu harian tertinggi antara negeri iaitu sebanyak 4277 kes, diikuti oleh Kuala Lumpur yang mencatatkan 1398 kes dengan semua negeri atau wilayah ada merekodkan kes baharu hari ini.