Home Berita PAS Melaka

Covid-19 Melaka | 8 kes kematian, 6 dari Daerah Melaka Tengah.

141
SHARE

Oleh IBNU JANIE

AYER KEROH, 5 Jul : Sebanyak lapan kes kematian baharu direkodkan hari ini dengan enam daripadanya dikesan di Daerah Melaka Tengah, kata Jabatan Kesihatan Negeri Melaka (JKNM) dalam satu hantaran di laman Facebook rasmi jabatan itu sebentar tadi.

Menurut JKNM, enam kes yang dikesan di Daerah Melaka Tengah itu masing-masing dua kes direkodkan di Mukim Bandar Melaka dan Mukim Semabok sementara dua kes lagi setiap satu direkodkan di Mukim Bukit Rambai dan Mukim Tanjung Kling.

Dua daripada lapan kes kematian itu pula dikesan di Daerah Alor Gajah dengan masing-masing satu kes direkodkan di Mukim Sungai Buloh dan Mukim Kelemak.

Kes positif baharu

JKNM juga melaporkan sebanyak 206 kes positif baharu direkodkan di Negeri Melaka hari ini dengan 171 kes adalah daripada kategori kes tempatan, tujuh kes daripada kategori kes import dan 28 kategori banduan/OKT/PATI.

Tambah JKNM lagi, daripada keseluruhan kes baharu itu juga, 145 kes dikesan di Daerah Melaka Tengah, 25 kes di Daerah Jasin dan 36 kes lagi dikesan di Daerah Alor Gajah.

Jabatan itu juga berkata sebanyak 345 kes sembuh baharu direkodkan hari ini, sementara 2559 kes masih dirawat berbanding 2706 semalam dengan 95 kes adalah daripada kes ICU dan 23 kes lagi daripada kategori bantuan alat pernafasan.

Laporan kluster

Kata JKNM lagi sebanyak 32 kluster direkodkan masih aktif di Negeri Melaka dan tiada sebarang pertambahan kluster baharu hari ini.

Kes seluruh negara

Kementerian Kesihatan Malaysia pula melaporkan sebanyak 6387 jumlah keseluruhan kes baharu direkodkan di seluruh negara hari ini, berbanding 6045 kes semalam.

Selain itu, 77 kes kematian baharu direkodkan hari ini berbanding 63 kes semalam, sementara 4532 kes sembuh baharu turut direkodkan hari ini berbanding 5271 kes semalam.

Laporan itu juga menyatakan bahawa sebanyak 69,447 kes aktif semasa direkodkan sementara keseluruhan kes jangkitan terkumpul dicatatkan di Malaysia berjumlah 785,039 kes.

Selangor pula kekal mencatatkan kes baharu harian tertinggi antara negeri iaitu sebanyak 2610 kes hari ini, diikuti oleh Kuala Lumpur yang mencatatkan 819 kes dengan semua negeri atau wilayah ada merekodkan kes baharu hari ini kecuali Perlis.