Home Berita PAS Melaka

Covid-19 Melaka | 7 kes kematian baharu

191
SHARE

Oleh IBNU JANIE

AYER KEROH, 29 Jun: Tujuh kes kematian baharu direkodkan di Negeri Melaka hari ini dengan enam daripadanya dikesan di Daerah Melaka Tengah dan satu kes lagi di Daerah Alor Gajah.

Demikian dinyatakan Jabatan Kesihatan Negeri Melaka (JKNM) dalam satu hantaran di laman Facebook rasmi jabatan itu sebentar tadi.

Menurut JKNM enam kes yang dikesan di Daerah Melaka Tengah itu ialah kes pertama melibatkan seorang wanita berusia 58 dari Mukim Bukit Rambai: kes kedua melibatkan seorang lelaki berusia 63 tahun dari Mukim Krubong; kes ketiga melibatkan seorang lelaki berusia 67 tahun dari Mukim Cheng.

Kes keempat pula melibatkan seorang lelaki berusia 80 tahun dari Mukim Bachang; kes kelima melibatkan seorang wanita berusia 68 tahun dari Mukim Bukit Katil dan kes keenam melibatkan seorang wanita berumur 81 tahun dari Mukim Bukit Rambai.

Sementara kes ketujuh yang dikesan di Daerah Alor Gajah pula melibatkan seorang lelaki berusia 61 tahun dari Mukim Gadek.

Laporan kluster

JKNM turut melaporkan bahawa tiada kluster baharu direkodkan hari ini sementara 40 kluster dilaporkan masih aktif di Negeri Melaka pada hari ini.

Kes positif baharu

JKNM juga melaporkan sebanyak 252 kes positif baharu direkodkan hari ini dengan 242 kes adalah daripada kategori tempatan, tiga kes daripada kategori import dan tujuh kes lagi daripada kategori banduan/OKT/PATI.

Tambah JKNM lagi, daripada keseluruhan kes baharu itu juga, 187 kes dikesan di Daerah Melaka Tengah, 23 kes di Daerah Jasin dan 42 kes lagi dikesan di Daerah Alor Gajah.

Jabatan itu juga berkata sebanyak 163 kes sembuh baharu direkodkan hari ini, sementara 2263 kes masih dirawat berbanding 2181 semalam dengan 89 kes adalah daripada kes ICU dan 16 kes lagi daripada kategori bantuan alat pernafasan.

Kes seluruh negara

Kementerian Kesihatan Malaysia pula melaporkan sebanyak 6437 jumlah keseluruhan kes baharu direkodkan di seluruh negara hari ini, berbanding 5218 kes semalam.

Selangor pula kekal mencatatkan kes baharu harian tertinggi antara negeri iaitu sebanyak 2299 kes hari ini, diikuti oleh Kuala Lumpur yang mencatatkan 1361 kes dengan semua negeri atau wilayah ada merekodkan kes baharu hari ini.

Laporan itu juga menyatakan bahawa sebanyak 107 kes kematian baharu direkodkan hari ini berbanding 57 kes semalam sementara keseluruhan kes jangkitan terkumpul dicatatkan di Malaysia berjumlah 745,703 kes.