Home Berita PAS Melaka

Covid-19 Melaka | 6 kematian, 363 kes positif baharu

178
SHARE

Oleh IBNU JANIE

AYER KEROH, 23 Ogos: Sebanyak enam kes kematian dan 363 kes positif baharu Covid-19 direkodkan di Negeri Melaka hari ini, kata Jabatan Kesihatan Negeri (JKN) dalam satu hantaran di laman Facebook rasmi jabatan itu sebentar tadi.

Menurut JKN Melaka, daripada enam kes kematian baharu yang direkodkan hari ini, empat kes dikesan di Daerah Melaka Tengah, manakala masing-masing satu kes lagi dikesan di Daerah Alor Gajah dan Jasin.

Secara keseluruhan mangsa kematian terdiri daripada dua wanita dan empat lelaki yang berusia antara 26 dan 84 tahun.

Kes positif baharu

Kata laporan itu lagi, daripada 363 kes positif baharu itu, 353 kes adalah daripada kategori kes tempatan, tiada kes daripada kategori kes import B dan 10 kes bagi kategori banduan/OKT/PATI.

Tambah laporan itu, daripada keseluruhan kes baharu itu juga, 156 kes dikesan di Daerah Melaka Tengah, 88 kes di Daerah Jasin dan 119 kes lagi dikesan di Daerah Alor Gajah.

Sebanyak 448 kes sembuh baharu direkodkan hari ini sementara 8661 kes masih dirawat dengan 85 kes adalah daripada kes ICU dan 35 kes lagi daripada kategori bantuan alat pernafasan.

Lima punca utama jangkitan bagi 363 kes hari ini ialah, 70 kes melibatkan kluster kilang; 149 kes melibatkan kontak keluarga; 10 kes melibatkan institusi penjara; sembilan kes melibatkan tempat kerja bukan kilang; sementara 106 kes lagi adalah saringan bergejala dalam kalangan orang ramai.

Laporan kluster

Tiada kluster baharu direkodkan hari ini.

Kes seluruh negara

Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) pula melaporkan seramai 18.2 juta rakyat Malaysia telah mengambil satu doz vaksin sementara 13.0 juta pula telah mengambil dua doz lengkap sehingga semalam.

KKM juga melaporkan sebanyak 17,672 kes positif baharu, 174 kes kematian baharu dan 19,053 kes sembuh baharu turut direkodkan hari ini.

Laporan itu juga menyatakan bahawa sebanyak 260,700 kes aktif semasa direkodkan sementara keseluruhan kes jangkitan terkumpul dicatatkan di Malaysia hari ini berjumlah 1,572,765 kes.

Selangor pula masih kekal mencatatkan kes baharu harian tertinggi antara negeri iaitu sebanyak 4316 kes, diikuti oleh Sabah yang mencatatkan 2474 kes dengan semua negeri atau wilayah ada merekodkan kes baharu hari ini.