Home Berita PAS Melaka

Covid-19 Melaka | 581 kes positif baharu, 17 maut

180
SHARE

Oleh IBNU JANIE

AYER KEROH, 30 Jul: Sebanyak 581 kes positif dan 17 kes kematian baharu direkodkan di negeri Melaka hari ini, kata Jabatan Kesihatan Negeri (JKN) dalam satu hantaran di laman Facebook rasmi jabatan itu sebentar tadi.

Menurut laporan itu juga, daripada 581 kes positif baharu yang dikesan di negeri ini hari ini, 573 kes adalah daripada kategori kes tempatan, lima kes daripada kategori kes import dan tiga kes daripada kategori banduan/OKT/PATI.

Kata jabatan itu lagi, daripada keseluruhan kes baharu itu juga, 306 kes dikesan di Daerah Melaka Tengah, 84 kes di Daerah Jasin dan 191 kes lagi dikesan di Daerah Alor Gajah.

Sebanyak 229 kes sembuh baharu direkodkan hari ini sementara 4876 kes masih dirawat hari ini berbanding 4551 semalam dengan 92 kes adalah daripada kes ICU dan 23 kes lagi daripada kategori bantuan alat pernafasan.

Lima punca utama jangkitan bagi 581 kes hari ini ialah, 53 kes melibatkan kluster kilang; 320 kes kontak keluarga; tiga kes melibatkan Institusi Penjara; 50 kes melibatkan tempat kerja bukan kilang sementara 107 kes saringan bergejala dalam kalangan orang ramai.

Namun JKN Melaka tìdak memberikan sebarang perincian bagi kes kematian hari ini.

Laporan kluster

Dua kluster baharu dilaporkan hari ini iaitu Kluster Jalan Saujana Indah yang dikesan di Daerah Melaka Tengah dan Kluster Jalan Masjid Tanah Ria yang dikesan di Daerah Alor Gajah.

Kluster Jalan Saujana Indah melibatkan pusat jagaan dengan 20 kes positif manakala Kluster Jalan Masjid Tanah Ria pula melibatkan kluster tempat kerja dengan 50 kes positif dikesan setakat ini.

Kes seluruh negara

Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) pula melaporkan seramai 13.2 juta rakyat Malaysia telah mengambil satu doz vaksin sementara 6.3 juta pula telah mengambil dua doz lengkap sehingga semalam.

KKM juga melaporkan sebanyak 16,840 jumlah keseluruhan kes baharu direkodkan di seluruh negara hari ini, berbanding 17,170 kes semalam.

Selain itu, 134 kes kematian baharu direkodkan hari ini berbanding 174 kes semalam, sementara 12,179 kes sembuh baharu turut direkodkan hari ini berbanding 12,930 kes semalam.

Laporan itu juga menyatakan bahawa sebanyak 183,706 kes aktif semasa direkodkan sementara keseluruhan kes jangkitan terkumpul dicatatkan di Malaysia hari ini berjumlah 1,095,486 kes.

Selangor pula masih kekal mencatatkan kes baharu harian tertinggi antara negeri iaitu sebanyak 6092 kes, diikuti oleh Kuala Lumpur yang mencatatkan 2114 kes dengan semua negeri atau wilayah ada merekodkan kes baharu hari ini.