Home Berita PAS Melaka

Covid-19 Melaka | 494 kes positif, 10 kematian baharu

131
SHARE

Oleh IBNU JANIE

AYER KEROH, 12 Ogos: Sebanyak 494 kes positif dan 10 kes kematian baharu direkodkan di Negeri Melaka hari ini, lapor Jabatan Kesihatan Negeri (JKN) dalam satu hantaran di laman Facebook rasmi jabatan itu sebentar tadi.

Menurut laporan itu, daripada keseluruhan 494 kes positif baharu yang direkodkan itu, 490 kes adalah daripada kategori kes tempatan, empat kes daripada kategori kes import dan tiada kes bagi kategori banduan/OKT/PATI.

Kata laporan itu lagi, daripada keseluruhan kes baharu itu juga, 234 kes dikesan di Daerah Melaka Tengah, 109 kes di Daerah Jasin dan 151 kes lagi dikesan di Daerah Alor Gajah.

Sebanyak 445 kes sembuh baharu direkodkan hari ini sementara 6094 kes masih dirawat dengan 100 kes adalah daripada kes ICU dan 35 kes lagi daripada kategori bantuan alat pernafasan.

Lima punca utama jangkitan bagi 494 kes hari ini ialah, 91 kes melibatkan kluster kilang; 222 kes melibatkan kontak keluarga; tiada kes melibatkan institusi penjara; 38 kes melibatkan tempat kerja bukan kilang, sementara 86 kes lagi adalah saringan bergejala dalam kalangan orang ramai.

Kes kematian

Menurut JKN Melaka, sebanyak 10 kes kematian direkodkan di Negeri Melaka hari ini di mana lima kes direkodkan di Daerah Melaka Tengah, empat kes di Daerah Alor Gajah dan satu kes di Daerah Jasin.

Secara keseluruhan mangsa kematian terdiri daripada masing-masing lima orang wanita dan lelaki yang berusia antara 37 dan 85 tahun.

Laporan kluster

Tiada kluster baharu direkodkan di Negeri Melaka hari ini.

Kes seluruh negara

Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) pula melaporkan seramai 16.3 juta rakyat Malaysia telah mengambil satu doz vaksin sementara 9.5 juta pula telah mengambil dua doz lengkap sehingga semalam.

KKM juga melaporkan sebanyak 21,668 kes positif baharu, 318 kes kematian baharu dan 17,687 kes sembuh baharu turut direkodkan hari ini.

Laporan itu juga menyatakan bahawa sebanyak 237,021 kes aktif semasa direkodkan sementara keseluruhan kes jangkitan terkumpul dicatatkan di Malaysia hari ini berjumlah 1,342,215 kes.

Selangor pula masih kekal mencatatkan kes baharu harian tertinggi antara negeri iaitu sebanyak 6278 kes, diikuti oleh Kuala Lumpur yang mencatatkan 2436 kes dengan semua negeri atau wilayah ada merekodkan kes baharu hari ini.