Home Berita PAS Melaka

Covid-19 Melaka | 491 kes positìf, 4 kematian hari ini

218
SHARE

Oleh IBNU JANIE

AYER KEROH, 6 Ogos: Sebanyak 491 kes positif dan empat kematian baharu direkodkan di Negeri Melaka hari ini, kata Jabatan Kesihatan Negeri (JKN) dalam satu hantaran di laman Facebook rasmi jabatan itu sebentar tadi.

Menurut laporan itu, daripada 491 kes positif baharu yang dikesan di negeri ini hari ini, 485 kes adalah daripada kategori kes tempatan, enam kes daripada kategori kes import dan tiada kes daripada kategori banduan/OKT/PATI.

Kata laporan itu lagi, daripada keseluruhan kes baharu itu juga, 248 kes dikesan di Daerah Melaka Tengah, 65 kes di Daerah Jasin dan 178 kes lagi dikesan di Daerah Alor Gajah.

Sebanyak 476 kes sembuh baharu direkodkan hari ini sementara 5708 kes masih dirawat dengan 115 kes adalah daripada kes ICU dan 27 kes lagi daripada kategori bantuan alat pernafasan.

Lima punca utama jangkitan bagi 491 kes hari ini ialah, 78 kes melibatkan kluster kilang; 285 kes kontak keluarga; tiada kes melibatkan institusi penjara; 28 kes melibatkan tempat kerja bukan kilang sementara 89 kes saringan bergejala dalam kalangan orang ramai.

Kes kematian

Menurut JKN Melaka, sebanyak empat kes kematian baharu dilaporkan hari ini, di mana masing-masing dua kes direkodkan di Daerah Melaka dan Jasin.

Secara keseluruhan mangsa kematian terdiri daripada dua wanita dan dua lelaki yang berusia antara 40 dan 66 tahun.

Kluster baharu

Satu kluster baharu direkodkan di Negeri Melaka hari ini iaitu Kluster Industri Jalan PK32 yang merupakan kluster tempat kerja melibatkan sebuah kilang di Krubong dengan 27 kes positif dikesan setakat ini.

Kes indek dikesan melalui saringan kontak keluarga dan jangkitan seterusnya telah merebak ke tempat kerja dan keluarga.

Kes seluruh negara

Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) pula melaporkan seramai 15.2 juta rakyat Malaysia telah mengambil satu doz vaksin sementara 8.0 juta pula telah mengambil dua doz lengkap sehingga semalam.

KKM juga melaporkan sebanyak 20,889 kes positf, 160 kes kematian dan 16,394 kes sembuh baharu turut direkodkan hari ini.

Laporan itu juga menyatakan bahawa sebanyak 221,396 kes aktif semasa direkodkan sementara keseluruhan kes jangkitan terkumpul dicatatkan di Malaysia hari ini berjumlah 1,224,595 kes.

Selangor pula masih kekal mencatatkan kes baharu harian tertinggi antara negeri iaitu sebanyak 8792 kes, diikuti oleh Kuala Lumpur yang mencatatkan 2483 kes dengan semua negeri atau wilayah ada merekodkan kes baharu hari ini.