Home Berita PAS Melaka

Covid-19 Melaka | 4 kluster baharu hari ini!

115
SHARE

Oleh IBNU JANIE

AYER KEROH, 5 Ogos: Sebanyak empat kluster baharu direkodkan di negeri Melaka hari ini, kata Jabatan Kesihatan Negeri (JKN) dalam satu hantaran di laman Facebook rasmi jabatan itu sebentar tadi.

Menurut laporan itu, empat kluster baharu tersebut ialah yang pertama Kluster Industri Lot 26 yang merupakan kluster tempat kerja melibatkan sebuah kilang di Batu Berendam dengan 36 kes positif dikesan setakat ini melalui saringan kontak keluarga.

Kluster kedua ialah Kluster Industri Lot Lapan iaitu kluster tempat kerja melibatkan sebuah kilang di Batu Berendam dengan 63 kes disahkan positif setakat ini yang dikesan melalui saringan bergejala.

Kluster ketiga ialah Kluster Bukit Palah 2 juga melibatkan sebuah tempat kerja dengan 27 kes positif dikesan setakat ini melalui saringan bergejala.

Sementara kluster keempat ialah Kluster Jalan Debunga Satu yang merupakan kluster tempat kerja di Merlimau dengan 24 kes positif dikesan setakat ini melalui saringan bergejala.

Kes positif baharu

Menurut laporan itu lagi, sebanyak 622 kes positif baharu dikesan di negeri ini hari ini, di mana 618 kes adalah daripada kategori kes tempatan, empat kes daripada kategori kes import dan tiada kes daripada kategori banduan/OKT/PATI.

Kata jabatan itu lagi, daripada keseluruhan kes baharu itu juga, 261 kes dikesan di Daerah Melaka Tengah, 91 kes di Daerah Jasin dan 270 kes lagi dikesan di Daerah Alor Gajah.

Sebanyak 728 kes sembuh baharu direkodkan hari ini sementara 5697 kes masih dirawat dengan 90 kes adalah daripada kes ICU dan 27 kes lagi daripada kategori bantuan alat pernafasan.

Empat punca utama jangkitan bagi 622 kes hari ini ialah, 210 kes melibatkan kluster kilang; 246 kes kontak keluarga; 34 kes melibatkan tempat kerja bukan kilang sementara 98 kes saringan bergejala dalam kalangan orang ramai.

Kes kematian

Menurut JKN Melaka, sebanyak sembilan kes kematian baharu dilaporkan hari ini, di mana satu kes direkodkan di Daerah Alor Gajah, enam kes direkodkan di Daerah Melaka Tengah sementara dua kes lagi direkodkan di Daerah Jasin.

Secara keseluruhan mangsa kematian terdiri daripada empat wanita dan lima lelaki yang berusia antara 35 dan 79 tahun.

Kes seluruh negara

Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) pula melaporkan seramai 14.9 juta rakyat Malaysia telah mengambil satu doz vaksin sementara 7.7 juta pula telah mengambil dua doz lengkap sehingga semalam.

KKM juga melaporkan sebanyak 20,596 jumlah keseluruhan kes baharu direkodkan di seluruh negara hari ini.

Selain itu, 164 kes kematian baharu dan 13,893 kes sembuh baharu turut direkodkan hari ini.

Laporan itu juga menyatakan bahawa sebanyak 217,016 kes aktif semasa direkodkan sementara keseluruhan kes jangkitan terkumpul dicatatkan di Malaysia hari ini berjumlah 1,203,706 kes.

Selangor pula masih kekal mencatatkan kes baharu harian tertinggi antara negeri iaitu sebanyak 8549 kes, diikuti oleh Kuala Lumpur yang mencatatkan 2163 kes dengan semua negeri atau wilayah ada merekodkan kes baharu hari ini.