Home Berita PAS Melaka

Covid-19 Melaka | 4 kluster, 474 positif, 10 kematian hari ini

96
SHARE

Oleh IBNU JANIE

AYER KEROH, 19 Jul: Sebanyak empat kluster, 474 kes positif dan 10 kematian baharu akibat Covid-19 direkodkan di negeri Melaka hari ini.

Demikian dinyatakan Jabatan Kesihatan Negeri Melaka (JKNM) dalam satu hantaran di laman Facebook rasmi jabatan itu sebentar tadi.

Menurut JKNM empat kluster baharu yang dikesan di negeri Melaka pada hari ini melibatkan dua kluster tempat kerja (kilang) dan dua kluster pusat tahanan.

Tambah JKNM lagi, dua kluster tempat kerja (kilang) itu ialah Kluster Teknologi Lot Enam-2 yang dikesan di Daerah Melaka Tengah, melibatkan 47 kes positif dan 135 kontak rapat manakala satu lagi ialah Kluster Industri Elektronik Bemban dalam Daerah Jasin melibatkan 37 kes positif.

Sementara itu dua lagi kluster yang merupakan kluster pusat tahanan ialah Kluster Tembok Kemus-2 melibatkan 40 kes positif dan satu lagi ialah Kluster DTI Machap Umboo-2 melibatkan 32 kes positif di mana kedua-dua kluster ini dikesan di Daerah Alor Gajah.

Kes positif baharu

Menurut JKNM daripada 474 kes baharu yang dikesan hari ini, 405 kes adalah daripada kategori kes tempatan, 11 kes daripada kategori kes import, sementara 58 kes lagi adalah kes banduan/OKT/PATI.

Tambah JKNM lagi, daripada keseluruhan kes baharu itu juga, 232 kes dikesan di Daerah Melaka Tengah, 96 kes di Daerah Jasin dan 146 kes lagi dikesan di Daerah Alor Gajah.

Jabatan itu juga berkata sebanyak 507 kes sembuh baharu direkodkan hari ini, sementara 4299 kes masih dirawat berbanding 4337 semalam dengan 103 kes adalah daripada kes ICU dan 30 kes lagi daripada kategori bantuan alat pernafasan.

JKNM turut menyenaraikan lima punca utama jangkitan bagi kes hari ini iaitu 121 kes melibatkan kluster kilang; 173 kes melibatkan kontak keluarga; 58 kes Institusi Penjara; 71 kes melibatkan tempat kerja bukan kilang sementara 27 kes lagi melibatkan saringan bergejala.

Laporan kematian

JKNM juga melaporkan sebanyak 10 kes kematian direkodkan hari ini di mana kesemuanya melibatkan warga emas berumur antara 61 hingga 84 tahun dengan tujuh daripada mereka adalah lelaki dan tiga wanita.

Daripada 10 kes itu juga tujuh kes direkodkan di Daerah Alor Gajah, satu di Daerah Melaka Tengah, sementara dua lagi di Daerah Jasin.

Kes seluruh negara

Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) pula melaporkan seramai 9.8 juta rakyat Malaysia telah mengambil satu doz vaksin sementara 4.5 juta pula telah mengambil dua doz lengkap sehingga semalam.

KKM juga melaporkan sebanyak 10,972 jumlah keseluruhan kes baharu direkodkan di seluruh negara hari ini, berbanding 10,710 kes semalam.

Selain itu, 129 kes kematian baharu direkodkan hari ini berbanding 153 kes semalam, sementara 6439 kes sembuh baharu turut direkodkan hari ini berbanding 5778 kes semalam.

Laporan itu juga menyatakan bahawa sebanyak 128,997 kes aktif semasa direkodkan sementara keseluruhan kes jangkitan terkumpul dicatatkan di Malaysia berjumlah 927,533 kes.

Selangor pula kekal mencatatkan kes baharu harian tertinggi antara negeri iaitu sebanyak 4404 kes, diikuti oleh Negeri Sembilan yang mencatatkan 1340 kes dengan semua negeri atau wilayah ada merekodkan kes baharu hari ini.