Home Berita PAS Melaka

Covid-19 Melaka | 4 kes kematian baharu

47
SHARE

Oleh IBNU JANIE

AYER KEROH, 17 Okt: Sebanyak empat kes kematian akibat Covid-19 direkodkan hari ini seperti dilaporkan Jabatan Kesihatan Negeri (JKN) Melaka dalam satu hantaran di laman Facebook rasmi jabatan itu sebentar tadi.

Menurut JKN Melaka, daripada empat kes kematian baharu yang direkodkan itu, kesemua mangsa adalah lelaki dengan dua daripadanya dikesan di Daerah Alor Gajah melibatkan mangsa lelaki berumur 32 dan 62 tahun.

Satu kes pula dikesan di Daerah Jasin melibatkan mangsa lelaki berumur 65 tahun dan satu kes lagi dikesan di Melaka Tengah melibatkan mangsa berumur 76 tahun.

Laporan kes positif baharu

Menurut JKN Melaka, sebanyak 206 kes positif baharu direkodkan hari ini dengan 202 daripadanya adalah daripada kategori kes tempatan, tiada kes daripada kategori import A, tiga kes daripada kes import B dan satu kes kategori banduan/OKT/PATI.

Menurut laporan itu lagi, daripada keseluruhan kes baharu itu juga, 109 kes dikesan di Daerah Melaka Tengah, 39 kes di Daerah Jasin dan 58 kes lagi dikesan di Daerah Alor Gajah.

Sebanyak 197 kes sembuh direkodkan hari ini menjadikan sebanyak 3060 kes masih dirawat, bertambah berbanding 3055 kes semalam dengan 14 kes adalah daripada kes ICU dan tiga kes lagi daripada kategori bantuan alat pernafasan.

Laporan kluster

Sebanyak 29 kluster dilaporkan masih aktif manakala tiada kluster baharu direkodkan hari ini.

Tiga kluster dilaporkan tamat hari ini iaitu Kluster Industri Jalan PK32, Kluster Industri Lot 11 Tangga Batu dan Kluster Industri Jalan Usaha 3.

Laporan seluruh negara

Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) pula melaporkan sebanyak 6145 kes baharu direkodkan hari ini merosot sedikit berbanding 7509 kes semalam menjadikan jumlah keseluruhan kes ialah sebanyak 2,390,687 kes.

Selangor menjadi negeri yang mencatatkan kes tertinggi antara negeri iaitu sebanyak 1036 kes, diikuti oleh Johor dengan 732 kes, Sarawak (730), Kelantan (572), Sabah (504), Perak (461), dan Pulau Pinang (438).

Kedah pula merekodkan 370 kes, Terengganu (319), Pahang (305), Negeri Sembilan (214), Kuala Lumpur (182), Perlis (51), Putrajaya (22), sementara Labuan pula hanya merekodkan tiga kes.