Oleh IBNU JANIE
AYER KEROH, 3 Jul : Sebanyak empat kes kematian baharu direkodkan di Negeri Melaka hari ini dengan salah satu daripada kes itu melibatkan kematian secara brought in dead (BID) melibatkan seorang lelaki berumur 27 tahun.
Demikian dinyatakan Jabatan Kesihatan Negeri Melaka (JKNM) dalam satu hantaran di laman Facebook rasmi jabatan itu sebentar tadi.
Menurut JKNM, mangsa kematian BID yang berasal dari Mukim Bukit Katil, Daerah Melaka Tengah itu mengalami gejala selsema, sakit tekak dan hilang deria bau sementara punca kematian masih dalam siasatan.
Untuk rekod BID bermaksud kes kematian akibat Covid-19 yang berlaku di luar hospital dan hanya dibawa ke hospital selepas mangsa meninggal dunia.
Tiga kes kematian lagi melibat seorang wanita berumur 62 tahun dari Mukim Krubong, Daerah Melaka Tengah; seorang lelaki berumur 62 tahun dari Mukim Tanjung Minyak, Daerah Melaka Tengah dan satu kes lagi melibatkan seorang wanita berumur 59 tahun dari Mukim Ayer Panas, Daerah Jasin.
Kes positif baharu
Sementara itu JKNM turut melaporkan sebanyak 345 kes positif baharu direkodkan hari ini dengan 285 kes adalah daripada kategori kes tempatan, empat kes daripada kategori kes import dan 56 kategori banduan/OKT/PATI.
Tambah JKNM lagi, daripada keseluruhan kes baharu itu juga, 252 kes dikesan di Daerah Melaka Tengah, 48 kes di Daerah Jasin dan 45 kes lagi dikesan di Daerah Alor Gajah.
Jabatan itu juga berkata sebanyak 167 kes sembuh baharu direkodkan hari ini, sementara 2604 kes masih dirawat berbanding 2430 semalam dengan 79 kes adalah daripada kes ICU dan 20 kes lagi daripada kategori bantuan alat pernafasan.
Laporan kluster
Tambah JKNM lagi, terdapat satu pertambahan kluster baharu hari ini iaitu Kluster Jalan Sri Raya yang merupakan kluster komuniti.
Kluster ini bermula dengan saringan kemasukkan kerja agensi pekerjaan di mana seramai 79 telah disaring dan 51 kes disahkan positif.
Sebanyak tiga kluster pula diisytiharkan tamat hari ini iaitu Kluster Taman Asean 2; Kluster Sebatu dan Kluster Tapak Bina Klebang, sementara masih terdapat 33 kluster lagi yang masih aktif di Negeri Melaka.
Kes seluruh negara
Kementerian Kesihatan Malaysia pula melaporkan sebanyak 6658 jumlah keseluruhan kes baharu direkodkan di seluruh negara hari ini, berbanding 6982 kes semalam.
Selain itu, 107 kes kematian baharu direkodkan hari ini berbanding 73 kes semalam, sementara 5677 kes sembuh baharu turut direkodkan hari ini berbanding 6278 kes semalam.
Laporan itu juga menyatakan bahawa sebanyak 66,958 kes aktif semasa direkodkan sementara keseluruhan kes jangkitan terkumpul dicatatkan di Malaysia berjumlah 772,607 kes.
Selangor pula kekal mencatatkan kes baharu harian tertinggi antara negeri iaitu sebanyak 3047 kes hari ini, diikuti oleh Negeri Sembilan yang mencatatkan 699 kes dengan semua negeri atau wilayah ada merekodkan kes baharu hari ini.
|