Oleh IBNU JANIE
AYER KEROH, 29 Sept: Melaka merekodkan 375 kes positif baharu Covid-19, namun tiada kes kematian atau kluster baharu dikesan hari ini.
Demikian dinyatakan Jabatan Kesihatan Negeri (JKN) dalam satu hantaran di laman Facebook rasmi jabatan itu sebentar tadi.
Menurut JKN Melaka, daripada 375 kes positif baharu yang direkodkan hari ini, 370 daripadanya adalah daripada kategori kes tempatan, empat kes daripada kes import B dan satu kes daripada kategori banduan/OKT/PATI.
Tambah laporan itu, daripada keseluruhan kes baharu itu juga, 324 kes dikesan di Daerah Melaka Tengah, 30 kes di Daerah Jasin dan 21 kes lagi dikesan di Daerah Alor Gajah.
Sebanyak 401 kes sembuh baharu direkodkan hari ini menjadikan sebanyak 5828 kes masih dirawat, berkurang berbanding 5854 kes semalam dengan 36 kes adalah daripada kes ICU dan 21 kes lagi daripada kategori bantuan alat pernafasan.
Laporan seluruh negara
Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) pula melaporkan sebanyak 12,434 kes baharu direkodkan hari ini berbanding 11,332 kes semalam menjadikan jumlah keseluruhan kes ialah sebanyak 2,232,960 kes.
Sarawak masih mencatatkan kes tertinggi antara negeri iaitu sebanyak 2967 kes, diikuti oleh Selangor dengan 1362 kes,
Johor (1289), Kelantan (1125), Sabah (1000), Perak (971), Pulau Pinang (863), Pahang (663), Kedah (652), Terengganu (612), Kuala Lumpur (284), Negeri Sembilan (169), Perlis (79), Putrajaya (18) sementara Labuan merekodkan lima kes.
Turut dilaporkan ialah trend penurunan bagi kadar kebolehjangkitan atau R-naught (Rt) COVID-19 apabila seluruh negara yang mencatatkan nilai 0.88 semalam.
PENGUMUMAN KHAS JKN MELAKA
JKN Melaka telah mengumumkan bahawa bermula 30 Ogos individu di Negeri Melaka yang berusia 50 tahun ke atas yang belum mendapat tarikh temujanji dalam aplikasi Mysejahtera boleh melakukan ‘walk in’ ke Pusat Pemberian Vaksin (PPV) Awam seperti di infografik dari jam 8.00 pagi hingga 1 tengahari.
Seramai maksimum 50 orang individu boleh melakukan ‘walk ini’ pada setiap hari di setiap PPV.
Namun bagi individu yang telah menerima tarikh temujanji, jabatan itu menasihatkan mereka agar patuh tarikh temujanji yang telah diberi.
|