Home Rencana PAS Perak

Masjid Raja Kampung Chepor usia cecah 482 tahun

190
SHARE

Oleh Mohd Syamil Azhar

Walaupun usianya sudah mencecah 482 tahun, masjid lama yang juga masjid pertama di Kampung Chepor, Lenggong, Perak yang lebih dikenali dengan nama Masjid Raja, masih tersergam kukuh dan kini telah menjadi bangunan warisan tarikan pelancong.

Masjid yang dibina secara gotong-royong itu dikenali sebagai Masjid Raja kerana pembinaannya dilaksanakan pada zaman Sultan Perak pertama, Sultan Mudzaffar Shah 1 (1528-1549).

Ia juga dibina sebagai menyahut titah baginda supaya setiap kampung dalam negeri serta jajahan takluknya dibina sebuah masjid.

Menyingkap sepintas lalu sejarahnya, penduduk, Lokhman Mahmud, 60, berkata, pembinaan masjid itu bermula pada 1539, iaitu 28 tahun selepas kejatuhan Melaka pada 1511, dan selepas Sultan Mahmud Shah berundur yang akhirnya ditabalkan sebagai sultan di Kampar.Masjid Raja Di Kampung Chepor Lenggong | | Dr. Shamsul Anuar Nasarah

Katanya, sebelum pembinaan masjid bersejarah itu, sebagai mematuhi titah Sultan Mudzaffar Shah 1, semua kampung, termasuk juga yang berada di bawah daerah tadbiran Tun Saban (Hulu Perak) dan daerah tadbiran Tok Temong (kedua-duanya di bawah jajahan kerajaan Perak) turut membina masjid.

Tun Saban dan Tun Puteh (dua daripada 12 beradik anak Tun Perak) katanya, adalah antara individu yang meneroka dan membuka Kampung Chepor.

Mereka jugalah yang membina Masjid Raja dengan bantuan orang-orang Pattani (pengikut Tun Saban) dan orang-orang Kampar yang datang bersama Tun Puteh.

Katanya, tidak lengkap kisah berkaitan Masjid Raja tanpa menyentuh sepintas kisah Tun Saban, yang sebelumnya memohon perkenan Sultan Mahmud Shah untuk berangkat ke Pattani dengan tujuan hendak mendalami ilmu agama.

Selepas beberapa tahun tinggal di Pattani, Tun Saban bersama pengikutnya kembali dan menetap di sebuah kampung di Belum Lama, Hulu Perak.

“Memikirkan yang Perak tidak bersultan, Tun Saban bersama beberapa individu berangkat ke Kampar bagi menghadap serta memohon perkenan supaya Perak mempunyai seorang sultan yang berdaulat.

“Sultan Mahmud Shah berkenan supaya anakanda baginda, Raja Mudzaffar Shah berangkat ke Perak bersama angkatan yang turut disertai Megat Terawis, Tun Puteh dan lain-lain untuk ditabalkan sebagai Sultan Perak yang pertama,” katanya.

Selepas Sultan Mudzaffar Shah ditabalkan sebagai Sultan Perak dan istana pun didirikan di Tanah Abang, menurutnya, Tun Saban dan Tun Puteh sering berulang alik untuk menghadap baginda.

Dalam pada itulah mereka tertarik dengan satu kawasan di tepi Sungai Perak sebelum sebuah penempatan dibuka di situ dan dinamakan Kampung Chepor.

“Berbalik semula kepada sejarah pembinaan Masjid Raja, penduduk dengan diketuai Tun Saban, Tun Puteh dan beberapa lagi masuk ke hutan untuk mendapatkan kayu kayan.Masjid Raja Kg Chepor Lenggong | | Dr. Shamsul Anuar Nasarah

“Antara kayu diguna ialah cengal emas, merbau dan kemuning yang mana ia tidak dimakan anai-anai dan tidak mudah reput.

“Segala perkakasan masjid, terutama kayu untuk tiang, alang dan sebagainya yang sudah dipotong serta dibelah dengan gergaji diangkut dari hutan ke tapak pembinaan dengan menggunakan gajah,” katanya.
Menurutnya, selepas tiga tahun, akhirnya pada 1541, Masjid Raja siap dibina dengan binaan asalnya beratapkan bertam, berdindingkan kelarai dan berlantaikan tanah liat bercampur debu letusan Gunung Berapi Toba, Sumatera, Indonesia.

Masjid Raja, katanya tidak dirasmikan secara rasmi, tetapi hari didirikan solat Jumaat pertama pada 1541, Sultan Mudzaffar Shah 1 menunaikan solat bersama dengan diimamkan seorang ulama Pattani.

“Sejak itu, Masjid Raja sudah dibaik pulih tiga kali, daripada atap bertam diganti kepada atap zink, dinding kelarai kepada papan dan lantai tanah kepada simen dan baru-baru ini, sekali lagi mengalami proses baik pulih.
“Masjid yang sarat dengan kisah sejarah ini reka bentuknya dipengaruhi senibina Melayu, Riau, Sumatera, Deli dan Langkap.Masjid Raja Lenggong | Lebih 480 Tahun Kekal Utuh Di Tempat Asal - YouTube

Ketika hendak dibina, penetapan arah kiblatnya disempurnakan oleh seorang ulama dari Pattani yang juga pengikut Tun Saban.

“Masjid Raja cukup menyentuh hati dan perasaan penduduk. Ada kalanya, bergenang air mata kerana jasanya kepada syiar Islam sehinggalah pembinaan masjid kedua iaitu Masjid Rahmaniah yang siap sepenuhnya dan mula digunakan pada 1964.

“Malah, pada 2000 hingga 2004, Masjid Raja sekali lagi dimanfaatkan penduduk apabila Masjid Rahmaniah yang uzur diroboh sebelum dibina masjid ketiga yang tersergam hingga kini,” katanya yang memperkenalkan dirinya sebagai generasi kelapan Tun Perak.

Lokhman yang juga pesara kerajaan berkata, Masjid Raja boleh memuatkan 100 jemaah pada satu-satu masa dan ia bukan sahaja berjasa buat penduduk Chepor malah Kampung Luat, Beng, Bukit Sapi dan Labit.MASJID RAJA | MASJID LAMA KAMPUNG CHEPOR | LENGGONG, PERAK - YouTube

Beliau tidak pasti, sama ada di kampung-kampung berkenaan yang berjiran dengan Kampung Chepor belum ada masjid atau pun tidak cukup bilangan ahli kariah untuk didirikan Jumaat.

Mereka yang hendak menunaikan solat Jumaat dari empat kampung berjiran itu, katanya datang ke Chepor mulai petang Khamis lagi, bermalam di rumah saudara mara dan pulang semula selepas Jumaat keesokan harinya.

Bekas Guru Besar Madrasatul Khalidiah yang juga Setiausaha Masjid Rahmaniah, Ustazah Melor Salehah Abdul Hamid berkata, berdasarkan kisah seorang penduduk, Hamdan Goling, 93, Masjid Raja mempunyai empat tiang seri yang memang dibina sebagai simbolik kepada empat mazhab iaitu Syafi’e, Maliki, Hanafi dan Hambali.

“Menurut Hamdan, selain sebagai tempat ibadat khusus, Masjid Raja juga diimarahkan dengan majlis ilmu yang mana antara guru yang mengajar membabitkan ulama dari Pattani bernama Muhammad iaitu bapa kepada bekas Kadi Besar Negeri Perak Yahaya Muhammad.

“Tenaga pengajar anak-anak Kampung Chepor sendiri turut menyebarkan syiar Islam. Ada juga yang menjadi imam Masjid Raja seperti Ibrahim Saleh dan Nawawi Panjang Hashim,” katanya.

Jawatankuasa Pembangunan Kemajuan Kampung (JPKK) l yang juga Pengerusi Masjid Rahmaniah Kampung Chepor, Kapten (B) Fudzali Chek Harun berkata, Masjid Raja cukup dikenali dalam kalangan penduduk serta orang luar.

“Masjid Raja turut menerima kunjungan pelancong, orang kenamaan, penuntut, pengkaji sejarah dan lain-lain.

“Masjid Rahmaniah atau masjid kedua Kampung Chepor yang siap dan mula digunakan pada 1964 dirasmikan oleh Sultan Idris Iskandar Shah ll (1963-1984) manakala masjid ketiga (Masjid Rahmaniah yang ada sekarang ini) yang siap dibina pada 2004, dirasmikan oleh Sultan Azlan Muhibuddin Shah (1984-2014). Masjid Raja sahaja belum dirasmikan hingga kini,” katanya.

Sementara itu, Ketua Penerangan PAS Kawasan Lenggong, Mohmad Saidi Sabri ketika dihubungi, berkata pembinaan Masjid Raja hampir 500 tahun lalu membuktikan syiar dan syariat Islam telah berkembang pesat di Perak, khususnya di daerah Lenggong.

Katanya, kewujudan masjid bersejarah itu dengan solat Jumaat, solat fardu berjamaah, pengimarahannya dengan majlis-majlis ilmu, membuktikan Melayu dan Islam telah sinonim sejak dulu dan tidak dapat dipisahkan hinggalah sekarang ini.

Justeru, katanya pihak pentadbir kampung sewajarnya bersatu memelihara Masjid Raja supaya ianya terus berdiri kukuh dan sejarahnya tetap dikenang hingga generasi akan datang.

“Mungkin lebih banyak sejarah masjid itu yang belum terbongkar kerana ia ada kaitan dengan sejarah penerokaan kampung dan rentetan sejarah sepanjang zaman pengganas komunis bermaharajalela dan zaman pendudukan Jepun di Tanah Melayu.

“Masjid Raja juga mampu menggamit kunjungan pelancong dalam dan luar negeri,” katanya.