Home Berita PAS Melaka

Covid-19 Melaka | 355 kes positif baharu, 3 kematian

156
SHARE

Oleh IBNU JANIE

AYER KEROH, 26 Jun: Sebanyak 355 kes positif dan tiga kematian baharu akibat Covid-19 direkodkan di Negeri Melaka hari ini, kata Jabatan Kesihatan Negeri Melaka (JKNM) dalam satu hantaran di laman Facebook rasmi jabatan itu sebentar tadi.

Menurut JKNM, daripada 355 kes positif baharu itu, 200 kes daripadanya adalah daripada kategori tempatan, empat kes adalah daripada kategori kes import dan 151 kes daripada kategori kes banduan/OKT/PATI.

Tambah JKNM lagi, daripada keseluruhan kes baharu itu juga, 302 kes dikesan di Daerah Melaka Tengah, 25 kes di Daerah Jasin dan 28 kes lagi dikesan di Daerah Alor Gajah.

Jabatan itu juga berkata sebanyak 123 kes sembuh baharu direkodkan hari ini, sementara 1994 kes masih dirawat berbanding 1766 semalam dengan 80 kes adalah daripada kes ICU dan 18 kes lagi daripada kategori bantuan alat pernafasan.

Laporan kes kematian

JKNM turut melaporkan sebanyak tiga kes kematian direkodkan hari ini di mana ketiga-tiganya dikesan di dalam Daerah Melaka Tengah.

Kes pertama melibatkan seorang lelaki berusia 56 tahun dari Mukim Bandar Melaka; kes kedua melibatkan seorang wanita berusia 80 tahun dari Mukim Bukit Baru dan kes ketiga melibatkan seorang lelaki berumur 72 tahun dari Mukim Bandar Melaka.

Laporan kluster

Tambah JKNM lagi, satu kluster baharu diumumkan hari ini iaitu Kluster Industri Serkam-2 dalam Daerah Jasin yang merupakan kluster tempat kerja.

Menurut laporan itu seramai 122 kontak rapat dikenalpasti manakala 40 kes dikesan positif setakat ini.

Selain itu, laporan itu juga menyebut bahawa sebanyak 37 kluster sedia ada yang masih aktif di Negeri Melaka sehingga hari ini.

Kes seluruh negara

Kementerian Kesihatan Malaysia pula melaporkan sebanyak 5803 jumlah keseluruhan kes baharu direkodkan di seluruh negara hari ini, berbanding 5812 kes semalam.

Selangor pula kekal mencatatkan kes baharu harian tertinggi antara negeri iaitu sebanyak 2108 kes hari ini, diikuti oleh Negeri Sembilan yang mencatatkan 741 kes dengan semua negeri atau wilayah ada merekodkan kes baharu hari ini.

Laporan itu juga menyatakan bahawa sebanyak 81 kes kematian baharu direkodkan hari ini berbanding 82 kes semalam sementara keseluruhan kes jangkitan terkumpul dicatatkan di Malaysia berjumlah 728,462 kes.