Home Berita PAS Melaka

Covid-19 Melaka | 353 kes positif, 7 maut

155
SHARE

Oleh IBNU JANIE

AYER KEROH, 22 Jul: Sebanyak 353 kes positif dan tujuh kematian baharu direkodkan di Negeri Melaka hari ini, kata Jabatan Kesihatan Negeri (JKN) dalam satu hantaran di laman Facebook rasmi jabatan itu sebentar tadi.

Menurut laporan itu, daripada 353 kes positif baharu yang dikesan di negeri ini hari ini, 348 kes adalah daripada kategori kes tempatan dan lima kes lagi adalah daripada kategori kes import.

Kata jabatan itu lagi, daripada keseluruhan kes baharu itu juga, 215 kes dikesan di Daerah Melaka Tengah, 43 kes di Daerah Jasin dan 95 kes lagi dikesan di Daerah Alor Gajah.

Jabatan itu juga menambah, sebanyak 475 kes sembuh baharu direkodkan hari ini, sementara 3971 kes masih dirawat berbanding 4116 semalam dengan 98 kes adalah daripada kes ICU dan 18 kes lagi daripada kategori bantuan alat pernafasan.

JKN Melaka turut menyenaraikan lima punca utama jangkitan bagi kes hari ini iaitu iaitu 33 kes melibatkan kluster kilang; 214 kes melibatkan kontak keluarga; 18 kes melibatkan tempat kerja bukan kilang; sementara 41 kes lagi melibatkan saringan bergejala dalam kalangan orang ramai.

Kes kematian

Tambah JKN Melaka, daripada tujuh kes kematian yang direkodkan hari ini, enam kes dikesan di Daerah Alor Gajah dan satu kes lagi dikesan di Daerah Melaka Tengah.

Dua daripada tujuh kes ini melibatkan kematian yang berlaku di rumah, namun tiada maklumat spesifik diberi.

Secara keseluruhan kes kematian ini melibatkan empat mangsa lelaki dan tiga wanita yang berumur antara 38 dan 96 tahun.

Laporan kluster

JKN Melaka turut melaporkan bahawa terdapat dua kluster baharu direkodkan di negeri ini hari ini iaitu Kluster Industri Tunas Baru dan Kluster Angkasa Nuri yang kedua-duanya dikesan di Daerah Alor Gajah.

Menurut laporan itu, Kluster Industri Tunas Baru adalah kluster tempat kerja melibatkan 44 kes positif sementara Kluster Angkasa Nuri pula melibatkan 27 kes positif setakat hari ini.

Kes seluruh negara

Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) pula melaporkan seramai 10.6 juta rakyat Malaysia telah mengambil satu doz vaksin sementara 4.9 juta pula telah mengambil dua doz lengkap sehingga semalam.

KKM juga melaporkan sebanyak 13,034 jumlah keseluruhan kes baharu direkodkan di seluruh negara hari ini, berbanding 11,985 kes semalam.

Selain itu, 134 kes kematian baharu direkodkan hari ini berbanding 199 kes semalam, sementara 8436 kes sembuh baharu turut direkodkan hari ini berbanding 7902 kes semalam.

Laporan itu juga menyatakan bahawa sebanyak 142,051 kes aktif semasa direkodkan sementara keseluruhan kes jangkitan terkumpul dicatatkan di Malaysia berjumlah 964,918 kes.

Selangor pula masih kekal mencatatkan kes baharu harian tertinggi antara negeri iaitu sebanyak 6049 kes, diikuti oleh Kuala Lumpur yang mencatatkan 1611 kes dengan semua negeri atau wilayah ada merekodkan kes baharu hari ini.