Home Berita PAS Melaka

Covid-19 Melaka | 340 kes baharu, 2 kematian

136
SHARE

Oleh IBNU JANIE

AYER KEROH, 29 Mei : Sebanyak 340 lagi kes baharu dan dua lagi kematian baharu akibat Covid-19 dikesan di negeri Melaka hari ini.

Demikian dinyatakan Jabatan Kesihatan Negeri Melaka (JKNM) dalam satu hantaran di laman Facebook rasmi jabatan itu sebentar tadi.

Menurut laporan itu daripada 340 kes baharu itu 128 kes dikesan di Daerah Melaka Tengah, 51 kes lagi daripada Daerah Jasin dan 161 kes dikesan di Daerah Alor Gajah;

JKNM turut melaporkan daripada keseluruhan kes baharu itu juga sebanyak 337 kes adalah daripada kategori tempatan dan tiga kes lagi daripada kes import.

Jabatan itu juga berkata sebanyak 200 kes sembuh baharu direkodkan hari ini, sementara 2185 kes masih dirawat dengan 59 kes adalah daripada kes ICU dan 19 kes lagi daripada kategori bantuan alat pernafasan.

Bagi kes kematian pula, kes pertama melibatkan seorang lelaki, berumur 74 tahun daripada Mukim Umbai, Jasin yang mempunyai latar belakang penyakit darah tinggi dan kencing manis.

Kes telah dikesan positif melalui saringan bergejala, batuk dan demam di mana kes merupakan kontak rapat kes positif iaitu anaknya sendiri.

Kes kedua pula melibatkan seorang lelaki berumur 68 tahun daripada Mukim Bandar Melaka yang mempunyai latar belakang penyakit darah tinggi.

Kes yang bergejala batuk, demam dan sesak nafas serta tiada kontak kes positif ini telah dimasukkan ke hospital disebabkan gejala kes semakin teruk.

Sementara itu JKNM turut melaporkan bahawa terdapat pertambahan dua kluster baharu iaitu Kluster Taman Asean 2 dan Kluster Industri Batu 16 Bemban.

Kluster Taman Asean 2 di dalam Daerah Melaka Tengah dikesan apabila kes indeks mula mengalami gejala demam dan batuk di mana beliau merupakan jemaah surau yang bertarawih sepanjang Ramadan.

Jangkitan telah merebak ke jemaah-jemaah lain dan juga ahli keluarga di mana sehingga kini 88 kontak rapat telah dikenalpasti dan 24 kes disahkan positif Covid-19 yang melibatkan generasi kedua.

Bagi kluster kedua iaitu Kluster Industri Batu 16 Bemban pula melibatkan pekerja-pekerja di sebuah kilang di daerah Jasin yang mana kes indeks bagi kluster ini adalah disyaki berpunca daripada sporadik dari komuniti.

Sehingga kini seramai 126 kontak rapat telah dikesan dan disaring di mana 33 kes dikesan positif, 80 negatif dan 12 masih menunggu keputusan.

Selain itu JKNM turut melaporkan penambahan kes jangkitan baharu bagi kluster aktif iaitu 72 kes dari Kluster Industri Pengkalan Balak; 24 kes bagi Kluster Industri Batu Berendam; 15 kes bagi Kluster Kampung Hilir Alor Gajah; sembilan kes bagi Kluster Kampung Kemuning; lapan kes bagi Kluster Jalan Tanjung Minyak.

Selain itu, enam kes bagi Kluster Industri Kelemak; lima kes bagi Kluster Kesang Indah; tiga kes bagi Kluster Jalan Kolej Yayasan; tiga kes Kluster Jalan Dato Dol Said; dua kes bagi Kluster Terendak Permai dan satu kes lagi bagi Kluster Bukit Tempayan.

Sementara itu Kementerian Kesihatan Malaysia pula melaporkan sebanyak 9020 jumlah keseluruhan kes baharu direkodkan di seluruh negara hari ini dengan Selangor kekal mencatatkan kes baharu harian tertinggi antara negeri iaitu sebanyak 2836 kes diikuti oleh Kelantan yang mencatatkan 907 kes.

Laporan itu juga menyatakan bahawa sebanyak 98 kes kematian baharu direkodkan hari ini sementara keseluruhan kes jangkitan terkumpul dicatatkan di Malaysia berjumlah 558,534 kes dengan semua negeri atau wilayah ada merekodkan kes baharu hari ini.

 

 

AKIKAH MAKKAH EMRANSYAH

 

.         SAMBAL IBU SARI        .