Home Berita PAS Melaka

Covid-19 Melaka | 323 kes positif dan 10 kematian baharu

128
SHARE

Oleh IBNU JANIE

AYER KEROH, 13 Jul: Sebanyak 323 kes positif dan 10 kematian baharu direkodkan di negeri ini hari ini, kata Jabatan Kesihatan Negeri Melaka (JKNM) dalam satu hantaran di laman Facebook rasmi jabatan itu sebentar tadi.

Menurut JKNM, daripada 323 kes positif baharu itu pula, 315 kes adalah daripada kategori kes tempatan dan masing-masing empat kes daripada kategori kes import dan kes banduan / OKT/ PATI.

Tambah JKNM lagi, daripada keseluruhan kes baharu itu juga, 190 kes dikesan di Daerah Melaka Tengah, 17 kes di Daerah Jasin dan 116 kes lagi dikesan di Daerah Alor Gajah.

Jabatan itu juga berkata sebanyak 263 kes sembuh baharu direkodkan hari ini, sementara 3458 kes masih dirawat berbanding 3408 semalam dengan 91 kes adalah daripada kes ICU dan 14 kes lagi daripada kategori bantuan alat pernafasan.

JKNM turut menyenaraikan lima punca utama jangkitan bagi kes hari ini iaitu Pekerja Kilang – 98 kes; kontak keluarga – 147 kes; Institusi Penjara – empat kes; tempat kerja bukan kilang – 35 kes dan saringan bergejala – 34 kes; manakala selebihnya adalah daripada lain-lain saringan.

Laporan kematian

JKNM turut melaporkan terdapat sebanyak 10 kes kematian direkodkan hari ini namun tiada maklumat lengkap diberi.

Laporan kluster

JKNM turut melaporkan terdapat pertambahan dua kluster baharu hari ini iaitu Kluster Kuala Permai dan Kluster Industri Jalan Usaha 5.

Kluster Kuala Permai yang dikesan di Daerah Alor Gajah melibatkan kluster komuniti dengan 119 orang telah disaring sementara 34 orang disahkan positif.

Kluster Industri Jalan Usaha 5 yang dikesan di Daerah Melaka Tengah dan Jasin pula melibatkan sebuah tempat kerja di mana daripada 142 saringan yang dijalankan, 26 disahkan positif.

Sementara itu sebanyak 33 kluster disahkan masih aktif di Negeri Melaka selain lima kluster dari luar Melaka.

Kes seluruh negara

Kementerian Kesihatan Malaysia pula melaporkan sebanyak 11,079 jumlah keseluruhan kes baharu direkodkan di seluruh negara hari ini, berbanding 8574 kes semalam.

Selain itu, 125 kes kematian baharu direkodkan hari ini berbanding 102 kes semalam, sementara 5990 kes sembuh baharu turut direkodkan hari ini berbanding 5041 kes semalam.

Laporan itu juga menyatakan bahawa sebanyak 96,236 kes aktif semasa direkodkan sementara keseluruhan kes jangkitan terkumpul dicatatkan di Malaysia berjumlah 855,949 kes.

Selangor pula kekal mencatatkan kes baharu harian tertinggi antara negeri iaitu sebanyak 5263 kes, diikuti oleh Kuala Lumpur yang mencatatkan 1521 kes dengan semua negeri atau wilayah ada merekodkan kes baharu hari ini kecuali Perlis.