Home Berita PAS Melaka

Covid-19 Melaka | 322 jangkitan baharu, 2 kematian

160
SHARE

Oleh IBNU JANIE

AYER KEROH, 3 Jun : Sebanyak 322 jangkitan baharu dan dua kematian akibat Covid-19 direkodkan di Negeri Melaka hari ini.

Demikian dilaporkan Jabatan Kesihatan Negeri Melaka (JKNM) dalam satu hantaran di laman Facebook rasmi jabatan itu sebentar tadi.

Menurut laporan itu daripada 322 kes jangkitan baharu direkodkan itu 318 kes adalah daripada kategori tempatan dan masing-masing dua kes daripada kategori kes import dan banduan / OKT.

JKNM turut melaporkan bahawa daripada keseluruhan kes baharu itu juga 173 kes dikesan di Daerah Melaka Tengah, 47 kes di Daerah Jasin dan 102 kes lagi dikesan di Daerah Alor Gajah.

Jabatan itu juga berkata sebanyak 321 kes sembuh baharu direkodkan hari ini, sementara 2192 kes masih dirawat dengan 71 kes adalah daripada kes ICU dan 12 kes lagi daripada kategori bantuan alat pernafasan.

Kes kematian

JKNM turut melaporkan dua kematian baharu akibat Covid-19 dikesan hari ini melibatkan dua warga emas di mana kedua-duanya mendapat jangkitan secara sporadik dan tidak tergolong dalam mana-mana kluster.

Kes pertama melibatkan seorang lelaki berumur 79 tahun dari Mukim Merlimau dalam Daerah Jasin manakala kes kedua pula melibatkan seorang wanita berusia 63 tahun dari Mukim Alai dalam Daerah Melaka Tengah.

Laporan kluster

Terdapat pertambahan kes bagi 33 kluster aktif sedia ada iaitu tujuh kes bagi Kluster Industri Pengkalan Balak; 28 kes bagi Kluster Industri Batu Berendam; 45 kes untuk Kluster Industri Kelemak; 13 kes Kluster Jalan Usaha Tujuh; dua kes Kluster Batu 16 Bemban; tiga kes Kluster Terendak Permai.

Selain itu juga enam kes bagi Kluster Taman Asean Dua; satu kes bagi Kluster Kampung Hilir Alor Gajah; satu kes bagi Kluster Kampung Kemuning; dua kes bagi Kluster Jalan Semabok; tiga kes Kluster Bukit Tempayan dan satu kes bagi Kluster Jalan Tanjung Minyak.

Kes seluruh negara

Sementara itu Kementerian Kesihatan Malaysia pula melaporkan sebanyak 8209 jumlah keseluruhan kes baharu direkodkan di seluruh negara hari ini dengan Selangor kekal mencatatkan kes baharu harian tertinggi antara negeri iaitu sebanyak 3125 kes diikuti oleh Kuala Lumpur yang mencatatkan 801 kes.

Laporan itu juga menyatakan bahawa sebanyak 103 kes kematian baharu direkodkan hari ini sementara keseluruhan kes jangkitan terkumpul dicatatkan di Malaysia berjumlah 595,374 kes dengan semua negeri atau wilayah ada merekodkan kes baharu hari ini.