Home Berita PAS Melaka

Covid-19 Melaka | 3 warga emas dari Melaka Tengah korban terbaru

184
SHARE

Oleh IBNU JANIE

AYER KEROH, 6 Jul : Tiga warga emas yang mana ketiga-tiga mereka berasal dari Daerah Melaka Tengah menjadi mangsa kematian terbaru Covid-19 Negeri Melaka hari ini, kata Jabatan Kesihatan Negeri Melaka (JKNM) dalam satu hantaran di laman Facebook rasmi jabatan itu sebentar tadi.

Menurut JKNM, kes pertama melibatkan mangsa lelaki berumur 68 tahun daripada Mukim Ujong Pasir; kes kedua melibatkan seorang lelaki berumur 73 tahun dari Mukim Bukit Katil dan kes ketiga melibatkan seorang wanita berumur 87 tahun dari Mukim Batu Berendam.

Selain itu, JKNM juga melaporkan sebanyak 230 kes positif baharu direkodkan di Negeri Melaka hari ini dengan 205 kes adalah daripada kategori kes tempatan, empat kes daripada kategori kes import dan 21 kes daripada kategori banduan/OKT/PATI.

Tambah JKNM lagi, daripada keseluruhan kes baharu itu juga, 152 kes dikesan di Daerah Melaka Tengah, 23 kes di Daerah Jasin dan 55 kes lagi dikesan di Daerah Alor Gajah.

Jabatan itu juga berkata sebanyak 200 kes sembuh baharu direkodkan hari ini, sementara 2586 kes masih dirawat berbanding 2559 semalam dengan 85 kes adalah daripada kes ICU dan 24 kes lagi daripada kategori bantuan alat pernafasan.

Laporan kluster

Kata JKNM lagi, sebanyak 32 kluster dilaporkan masih aktif di Negeri Melaka selain tiada pertambahan kluster baharu direkodkan hari ini.

Kes seluruh negara

Kementerian Kesihatan Malaysia pula melaporkan sebanyak 7654 jumlah keseluruhan kes baharu direkodkan di seluruh negara hari ini, berbanding 6387 kes semalam.

Selain itu, 103 kes kematian baharu direkodkan hari ini berbanding 77 kes semalam, sementara 4797 kes sembuh baharu turut direkodkan hari ini berbanding 4532 kes semalam.

Laporan itu juga menyatakan bahawa sebanyak 72,201 kes aktif semasa direkodkan sementara keseluruhan kes jangkitan terkumpul dicatatkan di Malaysia berjumlah 792,693 kes.

Selangor pula kekal mencatatkan kes baharu harian tertinggi antara negeri iaitu sebanyak 3260 kes hari ini, diikuti oleh Kuala Lumpur yang mencatatkan 1550 kes dengan semua negeri atau wilayah ada merekodkan kes baharu hari ini.