Home Berita PAS Melaka

Covid-19 Melaka | 3 kluster baharu, salah satunya kerana ziarah raya

517
SHARE

Oleh IBNU JANIE

AYER KEROH, 20 Mei : Tiga lagi kluster baharu diumumkan hari ini di mana salah satu daripadanya berpunca daripada ziarah keluarga pada hari raya Aidilfitri.

Demikian dinyatakan Jabatan Kesihatan Negeri Melaka (JKNM) dalam satu hantaran di laman Facebook rasmi jabatan itu sebentar tadi.

Menurut JKNM, kuster pertama iaitu Kluster Batu Lapan Bukit Rambai melibatkan kes dari Melaka Tengah dan Jasin di mana kes indeks merupakan lelaki berumur 70 tahun.

“Perebakan jangkitan disyaki semasa perjumpaan hari raya pertama di mana semua sanak saudara berkumpul untuk menziarahi kes indeks yang sedang sakit.

“Seramai 28 orang kontak rapat telah disaring di mana sehingga hari ini, seramai 12 kes dikesan positif,” kata laporan itu.

Kluster kedua menurut laporan itu adalah Kluster Jalan Dato Dol Said melibatkan kes dari Jasin dan Alor Gajah di mana kes indeks kluster ini dikesan positif setelah menjalani saringan bergejala.

“26 orang kontak rapat dikesan positif hasil saringan kontak rapat kes positif. Siasatan mendapati kebanyakan mereka merupakan kakitangan jabatan kerajaan di Daerah Alor Gajah (50 peratus). 136 orang kontak dikenalpasti. Seramai 27 kes dikesan positif,” kata laporan itu lagi.

Tambah laporan itu lagi kluster ketiga adalah Kluster Bukit Tempayan namun punca jangkitan terhadap kes indeks adalah masih dalam siasatan.

“Disyaki jangkitan komuniti (sporadik). Seterusnya merebak di kalangan kontak terdekat di dua tempat kerja yang berlainan. Seramai 62 org kontak rapat 11 kes positif,” katanya.

Mukim-mukim dalam Negeri Melaka yang berada di dalam zon merah hari ini ialah mukim Kelemak, Machap, Sungai Baru Ilir dan Sungai Baru Tengah di Daerah Alor Gajah; mukim Bandar Melaka, Batu Berendam dan Bukit Katil bagi Daerah Melaka Tengah; sementara bagi Daerah Jasin pula ialah mukim Merlimau dan Sebatu.

Selain itu, menurut laporan itu lagi, sebanyak 212 kes positif baharu dilaporkan JKNM hari ini dengan 204 kes adalah daripada kategori tempatan dan lapan kes lagi adalah daripada kes import.

Jabatan itu juga melaporkan sebanyak 54 kes sembuh baharu direkodkan hari ini, sementara 1106 kes masih dirawat dengan 45 kes adalah daripada kes ICU dan sepuluh kes lagi daripada kategori bantuan alat pernafasan.

Sementara itu Kementerian Kesihatan Malaysia pula sekali lagi melaporkan maklumat mengejutkan dengan 6806 jumlah keseluruhan kes baharu direkodkan di seluruh negara hari ini tertinggi sejak wabak ini mula dikesan di negara ini.

Selangor masih mencatatkan kes baharu harian tertinggi antara negeri iaitu sebanyak 2277 kes diikuti oleh Kuala Lumpur yang mencatatkan 655 kes.

Laporan itu juga menyatakan bahawa sehingga kini keseluruhan kes dicatatkan di Malaysia berjumlah 492,302 kes dengan semua negeri atau wilayah ada merekodkan kes baharu hari ini.

AKIKAH MAKKAH EMRANSYAH

 

.         SAMBAL IBU SARI        .