Home Berita PAS Melaka

Covid-19 Melaka | 278 kes positif dan 8 kematian

100
SHARE

Oleh IBNU JANIE

AYER KEROH, 11 Jul: Sebanyak 278 kes positif dan lapan kes kematian baharu direkodkan hari ini, lapor Jabatan Kesihatan Negeri Melaka (JKNM) dalam satu hantaran di laman Facebook rasmi jabatan itu sebentar tadi.

Menurut JKNM, daripada 278 kes positif baharu itu pula, 274 kes adalah daripada kategori kes tempatan sementara empat lagi kes daripada kategori kes import.

Tambah JKNM lagi, daripada keseluruhan kes baharu itu juga, 187 kes dikesan di Daerah Melaka Tengah, 51 kes di Daerah Jasin dan 40 kes lagi dikesan di Daerah Alor Gajah.

Jabatan itu juga berkata sebanyak 159 kes sembuh baharu direkodkan hari ini, sementara 3257 kes masih dirawat berbanding 3146 semalam dengan 90 kes adalah daripada kes ICU dan 19 kes lagi daripada kategori bantuan alat pernafasan.

Laporan kematian

Sementara itu, tambah JKNM, daripada lapan kes kematian yang direkodkan hari ini enam kes dikesan di Daerah Melaka Tengah dan dua kes lagi dikesan di Jasin.

Mangsa terdiri daripada enam lelaki dan dua wanita berumur antara 53 dan 73 tahun.

Laporan kluster

JKNM turut mengumumkan terdapat satu kluster diumumkan tamat pada hari ini iaitu Kluster Jalan Alor Gajah Lama, sementara 32 kluster dilaporkan masih aktif di Negeri Melaka dan lima kluster luar Melaka.

Kes seluruh negara

Kementerian Kesihatan Malaysia pula melaporkan sebanyak 9105 jumlah keseluruhan kes baharu direkodkan di seluruh negara hari ini, berbanding 9353 kes semalam.

Selain itu, 91 kes kematian baharu direkodkan hari ini berbanding 87 kes semalam, sementara 5194 kes sembuh baharu turut direkodkan hari ini berbanding 5910 kes semalam.

Laporan itu juga menyatakan bahawa sebanyak 87,841 kes aktif semasa direkodkan sementara keseluruhan kes jangkitan terkumpul dicatatkan di Malaysia berjumlah 836,296 kes.

Selangor pula kekal mencatatkan kes baharu harian tertinggi antara negeri iaitu sebanyak 4682 kes, diikuti oleh Kuala Lumpur yang mencatatkan 1247 kes dengan semua negeri atau wilayah ada merekodkan kes baharu hari ini.