Home Berita PAS Melaka

Covid-19 Melaka | 20 maut hari ini!

234
SHARE

Oleh IBNU JANIE

AYER KEROH, 8 Ogos: Sebanyak 20 kes kematian baharu direkodkan di Negeri Melaka hari ini, kata Jabatan Kesihatan Negeri (JKN) dalam satu hantaran di laman Facebook rasmi jabatan itu sebentar tadi.

Menurut JKN Melaka, daripada 20 kes itu, sembilan kes direkodkan di Daerah Melaka Tengah, tujuh kes di Daerah Alor Gajah dan empat kes di Daerah Jasin.

Secara keseluruhan mangsa kematian terdiri daripada masing-masing 10 orang wanita dan lelaki yang berusia antara 34 dan 90 tahun.

Kes positif baharu

Menurut laporan itu lagi, sebanyak 526 kes positif baharu dikesan di negeri ini hari ini, di mana 524 kes adalah daripada kategori kes tempatan, dan masing-masing satu kes daripada kategori kes import dan kategori banduan/OKT/PATI.

Kata laporan itu lagi, daripada keseluruhan kes baharu itu juga, 254 kes dikesan di Daerah Melaka Tengah, 77 kes di Daerah Jasin dan 195 kes lagi dikesan di Daerah Alor Gajah.

Sebanyak 503 kes sembuh baharu direkodkan hari ini sementara 5618 kes masih dirawat dengan 116 kes adalah daripada kes ICU dan 36 kes lagi daripada kategori bantuan alat pernafasan.

Lima punca utama jangkitan bagi 526 kes hari ini ialah, 67 kes melibatkan kluster kilang; 233 kes melibatkan kontak keluarga; satu kes melibatkan institusi penjara; 82 kes melibatkan tempat kerja bukan kilang, sementara 103 kes lagi adalah saringan bergejala dalam kalangan orang ramai.

Ĺaporan kluster

Tiada kluster baharu direkodkan di Negeri Melaka hari ini.

Kes seluruh negara

Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) pula melaporkan seramai 15.5 juta rakyat Malaysia telah mengambil satu doz vaksin sementara 8.5 juta pula telah mengambil dua doz lengkap sehingga semalam.

KKM juga melaporkan sebanyak 18,688 kes positif baharu, 360 kes kematian baharu dan 17,055 kes sembuh baharu turut direkodkan hari ini.

Laporan itu juga menyatakan bahawa sebanyak 225,393 kes aktif semasa direkodkan sementara keseluruhan kes jangkitan terkumpul dicatatkan di Malaysia hari ini berjumlah 1,262,540 kes.

Selangor pula masih kekal mencatatkan kes baharu harian tertinggi antara negeri iaitu sebanyak 6565 kes, diikuti oleh Kuala Lumpur yang mencatatkan 1883 kes dengan semua negeri atau wilayah ada merekodkan kes baharu hari ini.