Home Berita PAS Melaka

Covid-19 Melaka | 2 kluster baharu libatkan kilang

335
SHARE

Oleh IBNU JANIE

AYER KEROH, 11 Ogos: Dua kluster baharu direkodkan di Negeri Melaka hari ini di mana kedua-duanya merupakan kluster tempat kerja melibatkan kilang.

Demikian lapor Jabatan Kesihatan Negeri (JKN) dalam satu hantaran di laman Facebook rasmi jabatan itu sebentar tadi.

Menurut laporan itu, kluster pertama ialah Kluster Industri Jalan PBR Satu yang dikesan di Bukit Rambai dalam Daerah Melaka Tengah melibatkan 124 kes positif.

Sementara kluster kedua ialah Kluster Industri Solar Valley yang dikesan di Sungai Petai dalam Daerah Alor Gajah melibatkan 138 kes positif setakat ini.

Kes positif baharu

Menurut laporan itu lagi, sebanyak 636 kes positif baharu dikesan di negeri ini hari ini, di mana 627 kes adalah daripada kategori kes tempatan, sembilan kes daripada kategori kes import dan tiada kes bagi kategori banduan/OKT/PATI.

Kata laporan itu lagi, daripada keseluruhan kes baharu itu juga, 384 kes dikesan di Daerah Melaka Tengah, 75 kes di Daerah Jasin dan 178 kes lagi dikesan di Daerah Alor Gajah.

Sebanyak 285 kes sembuh baharu direkodkan hari ini sementara 6051 kes masih dirawat dengan 107 kes adalah daripada kes ICU dan 34 kes lagi daripada kategori bantuan alat pernafasan.


Lima punca utama jangkitan bagi 636 kes hari ini ialah, 222 kes melibatkan kluster kilang; 272 kes melibatkan kontak keluarga; tiada kes melibatkan institusi penjara; 35 kes melibatkan tempat kerja bukan kilang, sementara 87 kes lagi adalah saringan bergejala dalam kalangan orang ramai.

Kes kematian

Menurut JKN Melaka, sebanyak enam kes kematian direkodkan di Negeri Melaka hari ini di mana empat kes direkodkan di Daerah Melaka Tengah, satu kes di Daerah Alor Gajah dan dua kes di Daerah Jasin.

Secara keseluruhan mangsa kematian terdiri daripada masing-masing tiga orang wanita dan lelaki yang berusia antara 29 dan 82 tahun.

Kes seluruh negara

Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) pula melaporkan seramai 16.1 juta rakyat Malaysia telah mengambil satu doz vaksin sementara 9.2 juta pula telah mengambil dua doz lengkap sehingga semalam.

KKM juga melaporkan sebanyak 20,780 kes positif baharu, 211 kes kematian baharu dan 17,973 kes sembuh baharu turut direkodkan hari ini.

Laporan itu juga menyatakan bahawa sebanyak 233,358 kes aktif semasa direkodkan sementara keseluruhan kes jangkitan terkumpul dicatatkan di Malaysia hari ini berjumlah 1,320,547 kes.

Selangor pula masih kekal mencatatkan kes baharu harian tertinggi antara negeri iaitu sebanyak 6921 kes, diikuti oleh Kuala Lumpur yang mencatatkan 2065 kes dengan semua negeri atau wilayah ada merekodkan kes baharu hari ini.