Home Berita PAS Melaka

Covid-19 Melaka | 2 kluster baharu

302
SHARE

Oleh IBNU JANIE

AYER KEROH, 21 Mei : Terdapat pertambahan dua kluster baharu Covid-19 diumumkan hari ini iaitu Kluster Industri Kelemak dan Kluster Jalan Tanjung Minyak.

Demikian dinyatakan Jabatan Kesihatan Negeri Melaka (JKNM) dalam satu hantaran di laman Facebook rasmi jabatan itu sebentar tadi.

Menurut JKNM, kluster pertama iaitu Kluster Industri Kelemak adalah kluster tempat kerja melibatkan sebuah kilang di kawasan perindustrian Alor Gajah.

“Kes indeks disyaki mendapat jangkitan daripada komuniti. Jangkitan di dalam kluster ini dikenalpasti merebak di tempat kerja dan asrama kerana tidak mematuhi penjarakan sosial semasa melakukan aktiviti bersama.

“Kilang telah ditutup di bawah Akta Pencegahan Dan Pengawalan Penyakit Berjangkit 1988 bermula 20 Mei 2021 sehingga 3 Jun 2021.

“Seramai 388 orang pekerja dikenalpasti di kilang terlibat. Seramai 27 orang kontak telah disaring. 25 kes disahkan positif sementara 361 pekerja akan menjalani saringan,” kata laporan itu.

Kluster kedua yang dilaporkan JKNM ialah Kluster Jalan Tanjung Minyak di daerah Melaka Tengah yang dipercayai berpunca daripada jangkitan komuniti.

“Kes indeks telah bergejala dan menjalani saringan kendiri. Kes juga ada ahli keluarga yang sering berulang alik menjalankan perniagaan di luar negeri Melaka.

“Seterusnya merebak dalam kalangan kontak keluarga dan kontak kerja. Sehingga ini seramai 46 orang kontak rapat telah disaring. 22 orang dikesan positif,” kata laporan itu lagi.

Mukim-mukim dalam Negeri Melaka yang berada di dalam zon merah hari ini ialah mukim Kelemak, Machap, Sungai Baru Ilir dan Sungai Baru Tengah di Daerah Alor Gajah; mukim Bandar Melaka, Batu Berendam dan Bukit Katil bagi Daerah Melaka Tengah; sementara bagi Daerah Jasin pula ialah mukim Merlimau.

Selain itu, menurut laporan itu lagi, sebanyak 165 kes positif baharu dilaporkan JKNM hari ini dengan 158 kes adalah daripada kategori tempatan, empat kes daripada kes import sementara tiga kes lagi adalah daripada kes Banduan/OKT.

Jabatan itu juga melaporkan sebanyak 102 kes sembuh baharu direkodkan hari ini, sementara 1163 kes masih dirawat dengan 52 kes adalah daripada kes ICU dan 12 kes lagi daripada kategori bantuan alat pernafasan.

Dua kes kematian baharu diĺaporkan hari ini namun tiada perincian diberikan oleh JKNM.

Sementara itu Kementerian Kesihatan Malaysia pula melaporkan 6493 jumlah keseluruhan kes baharu direkodkan di seluruh negara hari ini dengan Selangor kekal mencatatkan kes baharu harian tertinggi antara negeri iaitu sebanyak 2163 kes diikuti oleh Kuala Lumpur yang mencatatkan 641 kes.

Laporan itu juga menyatakan bahawa sebanyak 50 kes kematian baharu direkodkan hari ini sementara keseluruhan kes dicatatkan di Malaysia berjumlah 498,795 kes dengan semua negeri atau wilayah ada merekodkan kes baharu.

AKIKAH MAKKAH EMRANSYAH

 

.         SAMBAL IBU SARI        .