Home Berita PAS Melaka

Covid-19 Melaka | 2 kluster, 13 kes kematian baharu hari ini

121
SHARE

Oleh IBNU JANIE

AYER KEROH, 2 Sept: Sebanyak dua kluster dan 13 kes kematian baharu akibat Covid-19 direkodkan di Negeri Melaka hari ini, kata Jabatan Kesihatan Negeri (JKN) dalam satu hantaran di laman Facebook rasmi jabatan itu sebentar tadi.

Menurut JKN Melaka, dua kluster baharu yang dikesan itu adalah kluster tempat kerja melibatkan Mukim Batu Berendam, Daerah Melaka Tengah iaitu Kluster Taman Perindustrian Batu Berendam dan Kluster Industri Jalan Batu Berendam.

Kluster Taman Perindustrian Batu Berendam melibatkan 36 kes positif sementara Kluster Industri Jalan Batu Berendam pula melibatkan 62 kes positif setakat hari ini.

Punca jangkitan bagi kedua-dua kluster ini adalah secara sporadik dan telah merebak ke tempat kerja dan kontak keluarga dan sosial.

Kes kematian

JKN Melaka tidak memberikan maklumat lengkap bagi 13 kes kematian yang direkodkan hari ini.

Kes positif baharu

Kata laporan itu lagi, sebanyak 407 kes positif baharu direkodkan hari ini dengan 406 kes adalah daripada kategori kes tempatan, satu kes daripada kategori kes import B dan tiada kes daripada kategori banduan/OKT/PATI.

Tambah laporan itu, daripada keseluruhan kes baharu itu juga, 171 kes dikesan di Daerah Melaka Tengah, 98 kes di Daerah Jasin dan 138 kes lagi dikesan di Daerah Alor Gajah.

Sebanyak 351 kes sembuh baharu direkodkan hari ini sementara 7579 kes masih dirawat dengan 78 kes adalah daripada kes ICU dan 24 kes lagi daripada kategori bantuan alat pernafasan.

Lima punca utama jangkitan bagi 407 kes hari ini ialah, 90 kes melibatkan kluster kilang; 161 kes melibatkan kontak keluarga; tiada kes melibatkan institusi penjara; empat kes melibatkan tempat kerja bukan kilang; sementara 97 kes lagi adalah saringan bergejala dalam kalangan orang ramai.

Kes seluruh negara

Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) pula melaporkan seramai 15.2 juta rakyat Malaysia telah mengambil satu doz vaksin sementara 19.9 juta pula telah mengambil dua doz lengkap sehingga semalam.

KKM juga melaporkan sebanyak 20,988 kes positif baharu, 249 kes kematian baharu dan 23,473 kes sembuh baharu turut direkodkan hari ini.

Laporan itu juga menyatakan bahawa sebanyak 262,540 kes aktif semasa direkodkan sementara keseluruhan kes jangkitan terkumpul dicatatkan di Malaysia hari ini berjumlah 1,786,004 kes.

Selangor pula masih kekal mencatatkan kes baharu harian tertinggi antara negeri iaitu sebanyak 4073 kes, diikuti oleh Sarawak yang mencatatkan 2992 kes dengan semua negeri atau wilayah ada merekodkan kes baharu hari ini.

PENGUMUMAN KHAS JKN MELAKA

JKN Melaka telah mengumumkan bahawa bermula 30 Ogos individu di Negeri Melaka yang berusia 50 tahun ke atas yang belum mendapat tarikh temujanji dalam aplikasi Mysejahtera boleh melakukan ‘walk in’ ke Pusat Pemberian Vaksin (PPV) Awam seperti di infografik dari jam 8.00 pagi hingga 1 tengahari.

Seramai maksimum 50 orang individu boleh melakukan ‘walk ini’ pada setiap hari di setiap PPV.

Namun bagi individu yang telah menerima tarikh temujanji, jabatan itu menasihatkan mereka agar patuh tarikh temujanji yang telah diberi.